LONDON – Firma-firma telekomunikasi berkaitan kerajaan Yemen yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kelmarin bahawa pemberontak Houthi akan mensabotaj rangkaian kabel internet dasar laut di Laut Merah, lapor akhbar Guardian.
Kabel berkenaan penting dalam operasi internet Barat dan penghantaran data kewangan.
Amaran tersebut disiarkan selepas saluran aplikasi Telegram yang dikaitkan dengan puak Houthi menerbitkan peta kabel fiber optik di sepanjang dasar Laut Merah.
Peta tersebut disertakan mesej: “Terdapat peta kabel fiber optik antarabangsa yang menghubungkan semua wilayah di dunia melalui laut. Nampaknya, Yemen berada di lokasi strategik kerana talian internet yang menghubungkan seluruh benua melalui perairan ini (Laut Merah).”
Syarikat Yemen Telecom berkata, pihaknya telah melakukan kedua-dua usaha diplomatik dan undang-undang sejak beberapa tahun lalu untuk memujuk pakatan telekomunikasi global supaya tidak mengadakan sebarang urusan dengan puak Houthi.
Menurutnya, perbuatan sedemikian akan memberikan pengetahuan kepada kumpulan pemberontak itu dan militia lain tentang cara kabel dasar laut beroperasi.
Dianggarkan bahawa Laut Merah bertanggungjawab kepada 17 peratus trafik internet di seluruh dunia menerusi saluran paip gentian fiber optik.
Dalam satu kenyataan, Perbadanan Telekomunikasi Am Yemen mengecam ancaman militia Houthi untuk menyasarkan kabel dasar laut antarabangsa.
Amaran itu membabitkan 16 kabel dasar laut di rantau berkenaan. Kabel itu memiliki ketebalan menyamai hos getah paip dan terdedah kepada kerosakan akibat sauh kapal dan gempa bumi. Ia merentasi Laut Merah ke arah Mesir.
Salah satu sambungan paling strategik ialah sepanjang 25,000 kilometer melibatkan rantau Asia-Afrika-Eropah (AE-1). Kabel dasar laut itu merentasi dari Asia Tenggara ke Eropah melalui Laut Merah.
Penganalisis keselamatan di Forum Keselamatan Teluk berkata dalam laporannya pada minggu lalu bahawa ‘kabel dasar laut masih selamat kerana puak Houthi ‘kekurangan teknologi atau motivasi’ untuk mensabotajnya.
“Houthi memiliki keupayaan untuk mengganggu penghantaran di permukaan laut melalui serangan peluru berpandu dan dron tetapi kekurangan perkakas untuk mencapai kabel dasar laut,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, mereka memberi amaran, di beberapa lokasi kabel itu berada di perairan cetek pada kedalaman kurang 100 meter dan tidak memerlukan kapal selam berteknologi tinggi untuk sampai kepadanya.
Pada 2013, tiga penyelam telah ditangkap di Mesir kerana cuba memotong kabel dasar laut dekat pelabuhan Iskandariah yang menyediakan kapasiti internet antara Eropah dan Mesir.
Menteri Penerangan Yemen dalam kerajaan diiktiraf PBB yang berpangkalan di Aden, Moammar al-Eryani berkata, militia Houthi menimbulkan ancaman serius kepada ‘salah satu infrastruktur digital paling penting di dunia.’
Tambahnya, Houthi adalah kumpulan militia yang tidak menetapkan batasan pada tindakan mereka.
Sementara itu, jurucakap puak Houthi, Mohammed Abdul Salam berkata, militia Houthi bersedia menggunakan taktik baharu untuk menghentikan pencerobohan Amerika-Britain ke atas Yemen.
“Keputusan kami menyokong Gaza adalah tegas dan berprinsip dan tidak akan terjejas oleh sebarang serangan. Mengenai keupayaan ketenteraan Yemen, kami ingin menegaskan bahawa mereka tidak mudah dimusnahkan dan terbukti mampu bertahan
“Daripada meningkatkan dan mencetuskan konflik baharu di rantau ini, Amerika dan Britain harus tunduk kepada kemahuan antarabangsa yang menuntut pencerobohan Israel dihentikan segera, menarik balik kepungan ke atas Gaza, dan berhenti melindungi Israel dengan mengorbankan rakyat Palestin,” katanya. – AGENSI