SEPANG – Juara dunia Moto2 dan Moto3, Pedro Acosta mengakui masih banyak perkara perlu dipelajarinya untuk memahami karakter jentera MotoGP terutama RC16 KTM biarpun menampilkan aksi luar biasa pada sesi Sepang Shakedown yang berakhir pada Sabtu lalu.
Acosta yang dinaikkan pangkat ke kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan menyertai pasukan Red Bull GASGAS Tech3 itu mencatat masa terpantas dengan catatan satu minit 58.189 saat (s).
Biarpun dinilai mampu melakukan kejutan pada debut di MotoGP musim ini, namun pelumba 19 tahun itu kekal tenang dan mahu terus menguji kemampuannya pada ujian rasmi bermula dari hari ini (6-8 Februari) hingga Khamis.
“Kami menghabiskan tiga hari untuk mencuba menyesuaikan gaya tunggangan saya dan cuba memahami tayar dalam MotoGP selain mencari pelarasan terbaik pada jentera KTM ini.
“Pastinya saya sangat gembira kerana meraih keputusan positif sewaktu turun menguji jentera pada sesi ujian pertama ini.
“Kami juga berjaya membuat beberapa pusingan pantas yang baik, tetapi yang paling penting, mempunyai rentak perlumbaan yang baik di atas litar kering dan bonus mencuba di atas litar basah.
“Saya cuba untuk mengikut Dani Pedrosa (Pelumba uji KTM) dan ia tidak begitu mudah untuk melakukannya,” katanya. – AGENSI