fbpx

Tidak pernah kahwin dengan Mohd. Bakri, terkejut ada sijil nikah – Cleopatra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cleopatra ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pempangaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra menafikan dia pernah bernikah dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

Katanya, dia terkejut sebaik menerima satu sijil pernikahan dari negara jiran sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi polis itu.

Atas sebab itu, bekas calon bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperolehi.

“Saya berharap dapat selesaikan (isu) ini secepatnya. Saya cuba tidak mahu menjatuhkan reputasi sesiapa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, mengatakan anak guamnya tidak pernah berkahwin dengan Mohd. Bakri.

“Perkahwinan tidak pernah berlaku, anak guam saya tidak pernah ke Thailand dan pernikahan juga tidak pernah dibuat secara dalam talian atau Zoom. Bagaimana dokumen (sijil nikah) dari negara jiran (Thailand) dicetak yang mengatakan anak guam saya telah berkahwin dengan Mohd. Bakri,” katanya.

Tambahnya, sebelum kes dibawa ke mahkamah hari ini, kes itu tersebut telah dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan badan agama itu kemudian telah mengesahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.

Ujar Akberdin, berikutan itu, anak guamnya telah membuat satu permohonan di mahkamah bagi membuktikan perkahwinan tersebut tidak pernah berlaku.

Sementara itu peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden ketika ditemui turut mengesahkan perkara sama.

“Pihak kami juga telah meneliti segala permohonan itu dan boleh kami katakan pernikahan itu tidak wujud. Katanya pemohon (Cleopatra) hanya membuat satu permohonan iaitu pengesahan pernikahan,” kata peguam syarie tersebut.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Mohd. Bakri tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami kesihatan.

Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat kemudian menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes dan pada tarikh itu juga pihak-pihak akan berhujah berhubung permohonan tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Bakri.

Nur Fathiah berkata, bekas polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.

Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.

Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI