fbpx

Mizz Nina tarik balik tuntutan hak penjagaan penuh Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mizz Nina menarik balik tuntutan hak penjagaan penuh dan inter-parte (sementara) anak angkatnya, Musa. - FOTO SYAKIR RADIN

SHAH ALAM – Penyanyi Mizz Nina memutuskan memfailkan penarikan semula dua tuntutan terhadap bekas suami, Noh Salleh iaitu kes hak penjagaan penuh dan inter-parte (sementara) anak angkatnya, Musa.

Menurut peguam syarie mewakili Mizz Nina iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan, tiada proses sulh yang berlangsung hari ini dan esok anak guamnya akan hadir bagi mengesahkan perkara itu di hadapan hakim.

“Esok kes itu akan disebut di hadapan hakim untuk mengesahkan penarikan balik dua tuntutan tersebut.

“Jadi tiada proses sulh sebentar tadi sebab kami sudah mefailkan penarikan balik dan sulh dibatalkan sebab pihak plaintif tidak ingin meneruskan tindakan,” katanya kepada Kosmo! Online Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini hari ini.

Bagaimanapun Mizz Nina tidak hadir sebaliknya diwakili suaminya, Essam Muhammad dan seorang lagi peguam, Mahmud Abdul Jumaat.

Tambah Fakhrul, dalam kes ini pihaknya sudah mendapatkan hak penjagaan sementara.

“Kami buat hak penjagaan sementara itu selepas Musa yang kita lihat sebagai dilarikan pada 19 Disember tahun lalu. Ketika itu Mizz Nina dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi anaknya tiada.

“Jadi mereka membuat laporan polis dan sebagainya tetapi anak masih tidak dapat diserahkan, kita memasukkan permohonan ex-parte dan mahkamah sudah memberikan hak penjagaan sementara kepada Mizz Nina.

“Kita usaha dalam lima sehingga tujuh hari untuk mendapatkan tempat tinggal anak tersebut sebab segala hubungan untuk mendapatkan anak itu sudah disekat. Jadi kami berjaya mendapatkan anak itu dengan bantuan pihak polis melalui perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sebenarnya pada 20 Februari 2023, Noh sudah bersetuju memberikan anak angkat itu sepenuhnya kepada Mizz Nina.

“Tapi kita tak tahu kenapa pada Disember lalu dia pergi ambil anak tersebut. Bila kita sudah dapat anak selepas ex-parte dikeluarkan, proses pengangkatan itu sudah dilaksanakan dan semalam sudah disahkan bahawa penjagaan anak tersebut iaitu Musa diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina,” katanya.

Menjawab dakwaan Noh bahawa Musa diletakkan di bawah penjagaan mereka bersama, Fakhrul berkata, ibu kandung Musa sudah menyerahkan Musa sepenuhnya kepada Mizz Nina.

“Memang sebelum itu pada 20 Februari 2023 lalu dia sudah memfailkan akuan berkanun iaitu menyerahkan anak tersebut kepada Mizz Nina dan kemudian tiba-tiba dia memfailkan lagi untuk membatalkan akaun berkanun itu serta dia hantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Tetapi bila ibu kandung Musa sudah membuat surat yang mengesahkan mahu memberikan anak itu kepada Mizz Nina seorang, jadi JPN tak ambil kira akaun berkanun yang dia hantar.

“Jadi secara rasmi ibu kepada Musa adalah Mizz Nina seorang,”katanya.

Noh turut hadir pagi tadi ditemani dua peguamnya, Muhammad Shamsyuar Jasmin dan Megat Syazlee Mokhtarom.

Hari ini, peguam mewakili Mizz Nina selaku plaintif iaitu Fakhrul Azman memaklumkan prosiding Sulh tidak berlangsung susulan penyanyi itu telah menarik semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan Inter-parte bagi hak penjagaan sementara.

Mizz Nina bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini sebaliknya diwakili suaminya iaitu Essam Muhammad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI