PETALING JAYA – “Hari ini genap dua bulan pemergian abang,” itulah luahan ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Mattin iaitu Ismanira Abdul Manaf menerusi InstaStorynya hari ini.
Pemergian tragis kanak-kanak tersebut yang ditemui meninggal dunia pada 7 Disember tahun lalu selepas dilaporkan hilang dua hari sebelumnya masih segar di fikiran ramai.
Arwah ditemui berhampiran anak sungai kira-kiran 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai dan sehingga ke hari ini kes pembunuhan kanak-kanak itu masih belum terungkai.
Kehilangan anak tersayang sekelip mata, membuatkan Ismanira sentiasa menitipkan kata-kata rindu melalui hantaran di laman media sosialnya termasuklah sering berkongsi gambar kenangan bersama Zayn Rayyan.
“Assalamualaikum Zayn Rayyan. Hari Sabtu dan Ahad semalam, mommy dah ziarah abang… hari ini genap dua bulan pemergian abang.
“Kalau boleh hari ini pun mommy nak datang lagi ziarah abang, tapi maaf mommy tak dapat datang hari ini ya, hari minggu pula mommy datang ziarah abang ya,” tulisnya ringkas sambil memuat naik gambar sewaktu menziarahi pusara arwah anak sulungnya itu.
Terdahulu, Ismanira berkongsi ucapan tahniah yang menyayat hati sempena hari graduasi anaknya.
“Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan. Mommy bangga dengan setiap pencapaian abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu turut berkongsi gambar suntingan bersama anaknya sebagai tanda kenangan meraikan majlis garduasi bagi murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE