PETALING JAYA – Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan masyarakat untuk tetap meraikan perkahwinan pasangan daripada golongan anak tidak sah taraf seperti biasa tanpa perlu berselindung.
Katanya, perkahwinan mereka ini juga perlu dihebahkan agar diketahui oleh umum sepertimana disarankan dalam Islam kerana tiada istilah bernikah secara sembunyi.
“Buat macam biasa, apa yang masyarakat kata abaikan. Jangan hidup dalam bersembunyi.
“Apabila anak itu anak luar nikah, dan kemudian anak itu nak akad dan sebagainya, jangan takut beritahu dia. Berterus-terang lebih baik. Jangan bohong anak kata dia anak betul (sah taraf).
“Yang salah bukan anak, yang salah itu masyarakat yang memandang rendah pada orang lain,” katanya.
Ustaz Azhar berkata demikian bagi menjawab soalan tentang cara sebuah keluarga yang ingin meraikan perkahwinan pasangan melibatkan anak luar nikah tanpa timbul fitnah oleh masyarakat.
Menurut Ustaz Azhar, masyarakat ini sememangnya sudah terbiasa dengan sikap merasa diri betul, dan menganggap orang lain salah.
“Masalah dalam masyarkat ini adalah selalu rasa mereka yang betul, orang lain semua salah. Tak perlu layan lah kata-kata masyarakat.
“Beritahu perkara yang betul (soal perkahwinan) sama ada masyarakat luar mahu terima atau tidak, terpulang pada mereka sendiri,” pesannya. – KOSMO! ONLINE