KUALA LUMPUR – Menyifatkan rumah sebagai ruang peribadi keluarga, penyanyi Marsha Milan mengakui kurang selesa apabila video kediaman milik mentua menjadi perhatian umum baru-baru ini.
Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh, 39, berkata, kenalan yang merakam dan berkongsi video tersebut sudah memadam hantaran itu selepas menjadi bahan bualan netizen.
“Sebenarnya saya pun tak berapa senang apabila video itu dikongsikan dalam laman sosial kerana bagi saya rumah adalah hal peribadi.
“Kalau saya muat naik apa-apa sekalipun, saya tidak paparkan semua atau berniat menunjuk-nunjuk sebab bimbangkan keselamatan keluarga.
“Bukan nak kata saya kaya, itu rumah mentua. Apabila baca berita yang tular itu, saya pun tak tahu nak komen apa,” katanya pada sesi ‘Meet & Greet’ Paling Ikonik Anugerah Juara Lagu Ke-38 di Pasar Seni, semalam.
Pada masa sama, selebriti kelahiran Sabah itu mengakui selesa sebumbung dengan keluarga mentua kerana sudah tinggal bersama mereka sejak awal perkahwinan lagi.
Ulasnya, memang pada awalnya dia tidak menjangkakan akan menetap bersama mentuanya, namun aturan Allah adalah sebaik-baik perancangan.
Kata Marsha, bukan sahaja tidak sunyi malah dia dan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail dapat menjaga ibu mentuanya.
“Alhamdulillah, lama kelamaan saya sudah dapat menyesuaikan diri. Kalau duduk dengan suami sahaja, mungkin saya akan sunyi.
“Kadang-kadang saya perlu seseorang untuk ada di rumah selepas pulang dari outstation
dan saya tahu suami juga dalam keadaan baik andai saya keluar bekerja.
“Mungkin tak semua orang boleh tinggal dengan ibu mentua, saya faham. Saya okey dan selesa. Bapa mentua pula sudah tiada, lebih bagus kami saling menjaga antara satu sama lain,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang individu berkongsi video tour banglo mewah tiga tingkat yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk kolam renang serta pawagam mini.
Biarpun ramai memuji sikap rendah diri penyanyi lagu Darah itu, masih ada segelintir netizen melemparkan komen jelik dengan menuduhnya sengaja menunjuk-nunjuk kekayaan. – KOSMO! ONLINE