KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan kekecewaan selepas tewas di perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Thailand Masters yang berlangsung sebentar tadi.
Pada aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok itu, Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kekalahan straight set 12-21, 18-21 kepada beregu tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam tempoh 49 minit.
Dechapol-Sapsiree yang mendapat sokongan padu penonton di stadium nyata berjaya menampilkan aksi cukup bertenaga dan menguasai sepenuhnya perlawanan biarpun cuba diberikan tentangan sengit oleh Tang Jie-Ee Wei di set kedua.
Meskipun kempunan untuk merangkul gelaran sulung pada musim ini, namun pencapaian Tang Jie-Ee Wei yang juga beregu No.9 dunia lebih baik jika dibandingkan ketika mereka tersingkir di pusingan kedua dalam tiga kejohanan terdahulu.
Untuk rekod, ini merupakan kekalahan kelima beregu negara kepada pasangan Thailand itu dalam enam perlawanan dengan pertemuan terakhir pada Terbuka India bulan lalu turut menjadi milik Dechapol-Sapsiree.
Selaku juara, Dechapol-Sapsiree membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$16,590 (RM78,263) berserta trofi manakala Tang Jie-Ee Wei berpuas hati dengan AS$7,980 (RM37,645) dan pingat. – KOSMO! ONLINE