fbpx

Sindiket cuba adun serbuk ekstasi jadi seakan serbuk koko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan serbuk ekstasi berwarna coklat yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dikesan cuba bereksperimentasi dengan menjadikan serbuk ekstasi kelihatan seakan serbuk koko bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sindiket itu turut membungkus dadah itu ke dalam paket pelbagai serbuk minuman berperisa seperti serbuk teh, kopi dan perisa buah-buahan sebelum diedarkan.

Bagaimanapun, sindiket yang beroperasi sejak Julai tahun lalu, tumpas setelah lima lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 31 tahun ditahan dalam dua serbuan di dua rumah sewa sekitar Iskandar Puteri, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam operasi sekitar pukul 4 hingga 4.30 pagi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.81 juta.

“Dalam serbuk itu, polis merampas lapan balang berisi serbuk ekstasi yang menyerupai serbuk koko berwarna coklat. Serbuk itu kemudiannya dipaketkan dalam serbuk minuman berperisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Rampasan dadah itu melibatkan serbuk ekstasi melibatkan 368 paket seberat 23.68 kilogram (kg) bernilai RM1,738,420 dan lima paket ketamin seberat 997.40 gram (g) bernilai RM59,724,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas tiga paket ganja seberat 193.50g bernilai RM1,935, sebanyak 1,490 biji pil Eramin 5 bernilai RM11,920 dan 41 biji pil ekstasi bernilai RM902.

Mumar memaklumkan, polis turut merampas pelbagai peralatan membungkus serbuk ekstasi selain melakukan sitaan terhadap dua kereta bernilai RM25,000.

“Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah teres yang disewa sebagai stor penyimpanan dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati empat daripadanya positif dadah jenis ketamin manakala hasil semakan rekod lampau mendapati tiga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama seminggu bermula 30 Januari sehingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI