fbpx

Solidariti mahasiswa UiTM Melaka buat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pelajar FKPM UiTM cawangan Melaka yang terlibat dalam kempen For Palestin.

TIDAK seperti insan lain yang dapat hidup aman tenteram, rakyat Palestin di Gaza kini bagaikan berada di ‘neraka dunia’.

Rejim Zionis menyerang mereka dari setiap sudut sehingga menyaksikan banyak jiwa tidak berdosa termasuk anak kecil terkorban.

Nasib yang menimpa rakyat Palestin juga memberi kesan mendalam kepada masyarakat di negara ini.

Oleh yang demikian, mahasiswa semester akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka menunjukkan solidariti terhadap krisis yang sedang melanda Palestin.

Solidariti itu dijayakan melalui kempen kemanusiaan program ‘For Palestine’ selama dua bulan sebagai tanda sokongan terhadap isu berkenaan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh pelajar, termasuk tayangan filem amal, larian kemanusiaan dan forum kemanusiaan, semuanya sebagai usaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Dalam usaha solidariti itu, mahasiswa FKPM telah berjaya mengumpul RM6,000.

Program jalinan strategik dengan ‘Suspended Meal Association Malaysia’ (SMAM) itu juga memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 dalam kempen sama.

SHAFEZAH (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Palestin berjumlah RM6,000 kepada Nadir Al-Nuri (tiga dari kiri).

Sumbangan itu kemudian disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu mangsa di Gaza yang sedang menghadapi musim sejuk.

Sumbangan sebanyak RM100,000 daripada SMAM dan RM6,000 daripada mahasiswa FKPM diserahkan kepada Ketua Pegawai Operasi CGM, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman di pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di Bangi, Selangor.

Penasihat program dan Pengasas SMAM, Shafezah Abdul Wahab berkata, sumbangan itu adalah tanda sokongan dan jihad kecil yang dilakukan oleh mahasiswa serta rakyat Malaysia untuk membantu Palestin.

Menurutnya, umat Islam di Malaysia perlu mengabaikan perbezaan terutamanya dari segi pegangan politik dengan memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin ketika ini.

“Isu Palestin adalah perkara yang berkaitan dengan akidah dan iman kita. Jadi, ia tidak seharusnya dipolitikkan dalam apa jua bentuk.

“Oleh itu, kami membuka peluang kepada komuniti SMAM membuat sumbangan dana sebagai langkah solidariti masyarakat Malaysia untuk membantu Palestin.

“Kerjasama mahasiswa FKPM dengan pihak NGO telah memberi peluang kepada golongan belia menanam sikap peduli dan prihatin terhadap isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin berkata, komitmen mahasiswa dalam membantu Palestin dengan menyalurkan dana sebanyak RM6,000 daripada seluruh warga FKPM termasuk kakitangan pengurusan dan pelajar.

Terangnya, kesedaran dan sikap peduli terhadap krisis yang berlaku itu perlu diterapkan dalam jiwa anak muda di peringkat universiti agar mereka tidak lalai dengan propaganda Barat.

“Melalui kempen solidariti ini, mahasiswa FKPM UiTM Melaka dapat membentuk sebuah komuniti kampus yang peka dan mempunyai rasa tanggungjawab tinggi terhadap isu-isu semasa.

“Impak positif yang dihasilkan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada institusi lain dan membuka ruang untuk lebih banyak kempen solidariti pada masa akan datang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI