PETALING JAYA – Akademia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu memiliki roh, jiwa serta keinginan untuk melihat bangsa dan bahasa sebagai bidang yang mulia dan harus dijulang.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md Taff berkata, pengajar harus menjadi ‘pencerna’ yang membawa ke arah pemikiran baharu seperti mana Za’ba yang memerdekakan nusantara melalui pena.
Katanya, UPSI telah bermula sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang menjadi pencetus kepada kemerdekaan nusantara bermula dari bahasa, bangsa dan budaya.
“Ini yang harus kita renung, malah akademia seharusnya mewarisi tokoh-tokoh sasterawan negara yang bertapak di bumi keilmuan Muallim ini seperti Sasterawan Negara seperti Shahnon Ahmad, Kemala dan Rahman Shaari.
“Saya berharap para akademia UPSI meresapi semangat mereka agar kalian dapat menjadi akademia sebenar yang mengajar akan erti sebenar sebuah bangsa dan negara.
“Roh ini harus ada dalam kalangan kita semua agar dapat memartabatkan asas dan akar budaya kita seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mengakar di bumi, Menggapai di langit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Syarahan Perdana Pelantikan Prof Abdul Halim Ali di Dewan Jauhar, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, Rabu lalu.
Dalam majlis yang sama, Dr. Abdul Halim yang baru dilantik sebagai Profesor bidang Kesusasteraan Melayu turut menyampaikan syarahan bertajuk “Menilai Makna Keindahan Berasaskan Konsep Estetika Bersepadu”.
Tambah Md. Amin, majlis sebegini terutamanya dalam pengajian bahasa Melayu adalah sangat signifikan agar terus mengakar sebagaimana kata-kata Perdana Menteri.
“Menjadi cabaran kepada kita apabila bahasa Indonesia diiktiraf sebagai bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Di manakah tujuan dan perjuangan bahasa Melayu? Apakah yang harus kita lakukan dalam memartabatkan bahasa?”,” katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya, UPSI sedang menghidupkan Pusat Pengajaran Bahasa di School of Oriental Studies and African Studies (SOAS), Universiti of London dan Uzbekistan State World Languages University, Tashkent.
Katanya, dua pensyarah dihantar bagi menghidupkan bahasa Melayu di sana selain menghantar wakil di setiap pusat.
“Terdapat lima mahasiswa dalam pengajaran bahasa Melayu yang akan menjalani latihan mengajar di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE