WASHINGTON – Seorang wanita baru menyambut kelahiran bayi perempuannya walaupun mereka sebenarnya berbeza usia kira-kira ‘18 bulan’ sahaja, demikian menurut akhbar Daily Star kelmarin.
Bayi itu, Molly Everette Gibson secara teknikal berumur 27 tahun kerana lahir daripada embrio manusia yang dibekukan pada Oktober 1992. Embrio manusia dianggap sudah bernyawa.
Molly dilaporkan sihat dan ceria. Bayi itu mencipta rekod baharu sebagai embrio tertua dunia yang dilahirkan.
Embrio itu dibekukan selepas 18 bulan ibunya, Tina dilahirkan. Wanita itu yang kini berumur 29 tahun, dilaporkan lahir pada April 1991.
“Sukar juga untuk memikirkan mengenai semua ini tetapi Molly adalah keajaiban kami,” kata Tina kepada akhbar New York Post.
Penyelidik-penyelidik menyatakan, bayi itu mencatat sejarah dan menempah nama dalam buku rekod sebagai embrio paling lama dibekukan yang membawa kepada kelahiran.
Sebelum ini, kakak Molly iaitu Emma Wren memegang rekod itu dengan catatan embrio beku selama 24 tahun sebelum dilahirkan pada 2017.
Penderma embrio lazimnya dirahsiakan indentiti mereka, menyebabkan ibu bapa kandung bayi yang dilahirkan tidak diketahui.
Embrio itu dinyah beku di Pusat Pendermaan Embrio Kebangsaan (NEDC) sebelum dipindah ke dalam rahim Tina.
Tina dan suami, Benjamin, 36, yang telah mendirikan rumahtangga selama satu dekad meminta bantuan NEDC kerana gagal mendapatkan zuriat sendiri selepas lima tahun berusaha.
Benjamin menghidap fibrosis sista yang mengakibatkan kesuburannya terjejas.
Menurut laporan, Tina hanya mengetahui embrio tersebut berusia 24 tahun, pada hari ia dimasukkan ke dalam rahimnya.
“Saya bertanya kepada pakar, Dr. Jeffrey Keenan, apa maksudnya?
“Dia menjawab ini mungkin menjadi rekod dunia,” katanya. – AFP