BANDAR GAZA – Sebuah tadika di Rafah menjadi sasaran serangan tentera Israel awal hari ini, sehingga mengorbankan sejumlah penduduk Palestin termasuk dua kanak-kanak, lapor portal berita Sada El Balad.
Tadika yang terletak di kawasan kejiranan Al-Salam, timur Rafah itu menjadi tempat perlindungan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera Rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu.
Sumber-sumber perubatan mengesahkan tragedi itu dengan menyatakan terdapat juga mangsa-mangsa yang cedera dalam serangan tersebut.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, askar Zionis meningkatkan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, yang menempatkan sebahagian besar pelarian.
Kementerian Kesihatan Gaza pada awal hari ini berkata, sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh semalaman termasuk dalam pengeboman Israel ke atas tadika berkenaan. – AGENSI