MOSCOW – Seorang jutawan muda Rusia sanggup membayar £2,000 (RM10,890) bagi penerbangan dua jam menaiki helikopter sewa khas demi untuk menikmati burger restoran popular, McDonald’s.
Viktor Martynov, 33, menyewa helikopter untuk mendapatkan makanan tersebut untuk dia dan teman wanitanya ketika mereka bercuti di Semenanjung Crimea, baru-baru ini.
Semenanjung Crimea yang dirampas Presiden Rusia, Vladimir Putin daripada Ukraine pada 2014, melaksanakan undang-undang menyekat syarikat dari negara Barat.
Ini menyebabkan restoran seperti McDonald’s tidak dapat beroperasi di rantau berkenaan.
Namun, Martynov yang bercuti di pusat peranginan Alushta, tiba-tiba mengidam untuk menikmati makanan segera restoran McDonald’s.
Dia menempah penerbangan pergi balik sejauh 724 kilometer ke Krasnodar, iaitu bandar terdekat yang memiliki restoran tersebut, lapor Mirror UK.
“Saya sedang bercuti bersama teman wanita dan tiba-tiba terasa mahu menikmati makanan yang saya biasa nikmati di Moscow.
“Jadi saya menempah sebuah helikopter, pergi ke Krasnodar, penuhi keinginan itu dan kembali ke pusat peranginan,” katanya.
Syarikat sewaan helikopter itu pula memberitahu bahawa ini kali pertama pesawat mereka digunakan untuk memenuhi permintaan seperti yang dibuat Martynov.
“Kebiasaannya, pelancong menyewa pesawat kami untuk bersiar-siar atau menghadiri perjumpaan,” kata sumber. – Agensi