WASHINGTON – Sebuah asteroid yang disifatkan sebagai ‘pemusnah bandar raya’ dan bersaiz lebih besar daripada stadium bola sepak dilaporkan semakin menghampiri Bumi, lapor laman berita Daily Star semalam.
Asteroid OS7 2008 dijangka melintasi planet ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang, demikian menurut amaran beberapa saintis.
Bagaimanapun, ia diramal tidak akan berada pada jarak hampir dengan Bumi tetapi akan menjadi lebih dekat dengan planet ini berbanding sebelumnya.
Pakar-pakar dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) percaya komet tersebut akan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi dalam tempoh berabad-abad lamanya.
Batuan angkasa lepas dengan lebar 271 meter itu akan bergerak sejauh kira-kira 2.84 juta kilometer dari Bumi.
Disebabkan saiznya dan kelajuan yang bergerak 65,883 kilometer sejam, NASA telah menyenaraikannya sebagai ‘asteroid yang berpotensi berbahaya jika ia terhempas’. – AGENSI