fbpx

Sanggup menyorok dalam longkang elak dicekup Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki gagal menyelamatkan diri apabila taktik penyembunyian mereka dikesan pihak berkuasa.

SERDANG – Dua pekerja pasar borong warga asing sanggup menahan bau kurang enak dan bersembunyi di dalam longkang kira-kira satu meter gara-gara tidak mahu dicekup Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, taktik penyembunyian dua warga Bangladesh itu dapat dikesan apabila penguat kuasa melakukan pemeriksaan di dalam longkang berkenaan hampir pukul 6 pagi tadi.

Mereka dipercayai bersembunyi lebih dua jam selepas serbuan dilaksanakan bermula pukul 3 pagi oleh anggota imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Apabila ditanya oleh Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, salah seorang daripada mereka mendakwa mereka sangat takut sehingga terpaksa berbuat demikian.

“Kalau kamu semua ada dokumen, passport maka tiada apa, Imigresen tidak jahat,” ujarnya selepas lelaki itu mendakwa mempunyai dokumen lengkap.

Hasil pemeriksaan mendapati, tempoh pas lawatan lelaki Bangladesh berbaju merah itu sudah tamat pada Jun tahun lalu bahkan permit kerjanya juga untuk sektor pembinaan.

Sementara itu, salah seorang anggota memberitahu media bahawa segelintir warga asing sempat melarikan diri sejurus melihat kenderaan penguat kuasa masuk ke pekarangan pasar borong berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai Operasi Bersepadu pagi tadi, Khairrul Aminus berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam serbuan pagi ini, pemeriksaan dijalankan ke atas seramai 530 warga asing termasuk 11 wanita terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Nepal, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia

“Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan yang dikesan adalah melibatkan tiada pas yang sah, salah guna pas serta tinggal lebih masa.

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya ketika sidang akhbar, di sini, pagi tadi.

Tegasnya, operasi seperti ini akan berterusan di seluruh Malaysia dan pihaknya juga mengesan lebih 20 lokasi hotspot ditetapkan di Selangor.

“Selain kawasan hotspot itu, kita akan giat laksanakan operasi seperti ini di premis-premis kecil,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI