fbpx

Kasturi, Cheri bantu pindah gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gajah liar jantan yang berjaya ditangkap di Kampung Gemunchor, Mukim Cheka, Lipis akan dibawa dan dilepaskan semula di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu.

LIPIS – Dua ekor gajah denak, Kasturi dan Cheri didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah bagi membantu memindahkan seekor gajah liar di Kampung Gemunchor, Mukim Cheka di sini hari ini.

Penolong Pegawai Hidupan Liar PKGK Kuala Gandah, Muhammad Ashraf Naim Zambri berkata, gajah liar jantan berkenaan berjaya di tangkap pada Rabu lalu kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Operasi pemindahan dilakukan 12 kakitangan PKGK dibantu 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan tiga anggota Perhilitan Daerah Lipis.

“Kasturi dan Cheri digunakan bagi menjinakkan gajah liar terbabit sekaligus melancarkan proses pemindahan,”katanya di sini hari ini.

Jelas Muhammad Ashraf, gajah liar yang dipindahkan itu akan dibawa dan dilepaskan semula di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu di Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchor, Roslan Idris berkata, penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega apabila gajah liar yang menceroboh masuk ke kawasan kampung dan merosakkan tanaman berjaya ditangkap.

Beliau berkata, pihaknya menzahirkan rasa terima kasih kepada kakitangan PKGK dan Perhilitan Negeri Pahang kerana membantu menangkap gajah liar berkenaan sekaligus mengurangkan pencerobohan haiwan liar itu.

Menurutnya, sebelum ini kelibat sekawan gajah liar yang dianggarkan lapan ekor sering kelihatan menceroboh masuk dan memusnahkam kebun sawit, pisang dan tanaman komersial.

“Pernah juga kawanan gajah berkenaan membuat bising sehingga bergegar rumah, ini menyebabkan penduduk kampung takut untuk keluar dari kediaman masing-masing.

“Penduduk kampung juga terpaksa menanggung kerugian yang besar apabila tananam seperti sawit dan pisang yang mereka usahakan musnah sama sekali akibat serangan gajah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI