fbpx

K2

Legenda bola sepak idola si miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maradona akan dikenang sebagai salah seorang legenda bola sepak terhebat di dunia.- AFP

MELAKUKAN larian solo dari tengah padang, Diego Armando Maradona lincah menggelecek bola dan memintas lima pemain lawan sebelum melepaskan tendangan penyudah ke dalam pintu gol.

Setelah bola menerjah ke gawang, Maradona yang merupakan penyerang bagi pasukan Argentina berlari ke bahagian tepi padang bagi meraikan gol kedua yang dihasilkannya.

Gol dicipta Maradona tersebut juga diiktiraf sebagai gol tercantik abad itu atau Goal of the Century.

Itulah babak bersejarah yang berlaku ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 1986 antara England dan Argentina yang berlangsung pada 22 Jun 1986 di Stadium Azteca, Bandar Raya Mexico.

Gol tersebut dijaringkan Maradona empat minit selepas lelaki itu menghasilkan gol kontroversi yang didakwa menggunakan kuisan tangan sehingga diberi jolokan Hand of God.

Walaupun kisah tersebut telah berlaku hampir 36 tahun lalu, gol-gol itu tetap dikenang sehingga kini. Dua gol jaringannya itulah yang telah menyingkirkan England daripada kejohanan paling berprestij itu.

Maradona bahkan turut membantu Argentina menjulang gelaran Piala Dunia pada tahun tersebut dan gol-gol jaringannya yang ikonik terus dikenang.

Tetapi kini peminat bola sepak yang mengagumi sang legenda dunia dari Argentina itu pasti berduka setelah lelaki ini menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis lalu.

Maradona dilaporkan meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat serangan jantung di kediamannya di Bueno Aires, Argentina.

SEBUAH pasukan bola sepak di Argentina bertafakur dan memberikan penghormatan terakhir kepada Maradona.-AFP

Presiden Argentina, Alberto Fernandez turut mengumumkan tempoh tiga hari berkabung ekoran kematian bintang bola sepak itu.

Fernandez turut memuat naik gambar bersama legenda itu di laman Twitter.

“Anda telah meletakkan kami di puncak dunia. Anda membuatkan kami rasa sangat gembira. Andalah yang terbaik, terima kasih kerana hadir untuk kami, Diego. Kami semua akan merindui kamu sepanjang hidup,” ujarnya menerusi laman sosial tersebut.

Sementara itu, legenda bola sepak Brazil, Pele turut melahirkan rasa sedih dengan kehilangan tersebut.

“Satu hari nanti, kita akan bermain bola bersama-sama di atas langit sana,” tulisnya.

Tanah perkuburan Jardin Bella Vista yang terletak di pinggir bandar raya Buenos Aires menjadi pilihan keluarga Maradona memandangkan ibu dan bapa kandungnya turut disemadikan di sana.

Sementara itu, sepanjang kariernya, Maradona telah meledak 259 gol dalam 491 perlawanan, malah pernah memahat sejarah sebagai pemain termuda menyarung jersi Argentina pada usia 16 tahun 120 hari.

Maradona dilahirkan pada tanggal 30 Oktober 1960 di Lanus, Buenos Aires dan dia merupakan anak kelima daripada lapan beradik. Dia berasal daripada sebuah keluarga miskin yang tinggal di kawasan setinggan Villa Fiorito.

Bakatnya dalam bola sepak sudah bermula sejak usia 10 tahun di mana pada waktu itu dia telah menyertai Los Cebollitas yang merupakan pasukan junior bagi sebuah kelab berpengaruh, Argentinos Juniors.

Walaupun bertubuh kecil, anak muda itu menunjukkan permainan yang mengagumkan.

Maradona muncul buat julung kalinya sebagai pemain profesional pada 10 hari sebelum hari jadinya yang ke-16 bersama kelab Argentinos Juniors.

Beliau bersama pasukan itu dari tahun 1976 sehingga 1981 sebelum berpindah ke kelab pujaannya iaitu Boca Juniors. Bersama Boca Juniors, Maradona berjaya meraih juara liga pertamanya pada tahun 1982.

Lelaki pendek yang hanya berketinggian 167 sentimeter dan bertubuh agak berisi tersebut adalah bakat bola sepak luar biasa ketika itu.

SEBUAH kawasan di Naples, Itali memaparkan poster gergasi Maradona sebagai penghormatan buat mendiang.-AFP

Mendiang juga telah memecahkan rekod dunia untuk perpindahan pemain sebanyak dua kali.

Pertama kali sewaktu dia berhijrah dari kelab Boca Juniors ke Barcelona di mana kelab dari Sepanyol itu membayar sebanyak £5 juta (RM27.25 juta ) pada tahun 1982. Dua tahun kemudian beliau menyertai kelab Napoli dengan nilai perpindahan sebanyak £6.9 juta (RM37.61 juta).

Berasal daripada keluarga setinggan yang daif, Maradona sering dilihat sebagai idola kepada budak-budak lelaki miskin di seluruh dunia pada era kegemilangannya.

“Bagi kanak-kanak di selatan Iran yang dibesarkan dalam serba kekurangan, bola sepak adalah segalanya. Kami menangis gembira apabila Maradona menjaringkan gol dan menangis seperti bayi apabila Argentina tewas.

“Kami membesar dengan sedar berkongsi persamaan dengannya. Maradona tidak pernah lupa asal usulnya,” kata penulis Iran, Kaveh Boveiri dalam portal Jacobin.

Maradona tinggal di kawasan setinggan yang tiada bekalan air minuman, elektrik dan tiada sistem pembetung, manakala bapanya yang hanya bekerja kilang bergelut untuk memberikannya pakaian.

“Ramai orang takut untuk mengaku mereka berasal dari setinggan, tetapi tidak saya. Jika saya tidak mengaku saya lahir di kawasan itu, tidak mungkin akan wujud Maradona hari ini. Di situlah saya mendapat kebebasan dengan bermain.” tutur Maradona.

Walaupun hebat di tengah padang Maradona juga merupakan antara pemain yang penuh kontroversi apabila turut terlibat dalam gaya hidup yang nyaris memusnahkan dirinya termasuk terlibat dengan dadah dan kumpulan penjenayah.

Sepanjang karier, dia ditangkap positif dadah sebanyak dua kali iaitu ketika bersama Napoli pada tahun 1991 sehingga digantung selama 15 bulan.

Tiga tahun selepas itu, ketika temasya Piala Dunia 1994 yang berlangsung di Amerika Syarikat, dia gagal sekali lagi dalam ujian dadah.

Ketika kejohanan baru separuh jalan, dia telah dihantar pulang kerana positif dadah jenis ephedrine.

AKSI Maradona semasa melepasi barisan pertahanan England pada perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 1986.

Maradona dikatakan telah terlibat dalam penggunaan dadah jenis kokain sejak 1982 lagi. Setelah berpindah ke Napoli pengambilan dadah olehnya semakin tidak terkawal.

Setelah bersara daripada daripada menjadi pemain profesional pada usia 37 tahun, Maradona mengalami masalah berat badan kerana terlibat dengan ketagihan alkohol.

Pada tahun 2004, dia pernah mendapat serangan jantung dan terpaksa menjalani pembedahan pintasan gastrik pada tahun 2005.

Biarpun pelbagai masalah ditimbulkan, Maradona tetap diangkat sebagai pengurus skuad kebangsaan Argentina pada tahun 2008 tetapi dipecat tidak lama tidak lama selepas pasukan itu dimalukan Jerman pada Piala Dunia 2010.

Percaya atau tidak, bekas penjaga gol England, Peter Shilton yang tewas dengan gol Hand of God itu masih terkilan dengan insiden tersebut sehingga hari ini.

“Saya tidak kisah apa orang kata kerana gol Maradona itu telah menyumbang kemenangan Argentina. Saya mengakui peristiwa itu telah menghantui kehidupan saya untuk tempoh yang lama,” kata Shilton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI