LONDON – Sebuah kumpulan paranormal cuba menyiasat dakwaan penampakan hantu kanak-kanak perempuan bermata hitam di dalam sebuah hutan di Cannock Chase, England, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Sebuah klip video yang dirakam pada 2015 menunjukkan lembaga berpakaian putih berada di hutan tersebut sebelum ia tular di internet.
Lembaga itu dipercayai dilihat di hutan tersebut sejak tahun 1800-an lagi ketika wabak penyakit difteria menular di England dan meragut banyak nyawa kanak-kanak tempatan.
Sebilangan pengunjung yang masuk dan berkhemah di hutan tersebut turut menceritakan penemuan lembaga didakwa hantu itu, yang muncul dan hilang secara tiba-tiba.
Menurut seorang pemburu hantu dikenali sebagai Robert Plume, hutan itu dianggap sebagai lokasi paling menyeramkan di Britain. Kata Plume, dia banyak menerima laporan tentang hantu bermata hitam itu.
“Pada mulanya, hantu itu kelihatan seperti kanak-kanak biasa dan pengunjung bimbang kanak-kanak berkenaan mungkin sesat di hutan. Apabila mereka merenung matanya, dia tiba-tiba hilang. Ia menyeramkan.” – AGENSI