LONDON – Pelumba Sepanyol, Carlos Sainz memberi bayangan bahawa dia sudah memiliki tawaran untuk menyertai pasukan baharu selepas tempatnya bersama pasukan Scuderia Ferrari telah diambil alih oleh juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton.
Semalam, Hamilton telah mengesahkan bahawa dia akan menyertai pasukan Ferrari sekali gus bakal menjadi rakan sepasukan Charles Leclerc bermula tahun 2025.
Leclerc sebelum ini dilaporkan telah menandatangani kontrak lumayan selama lima tahun sehingga musim 2029 bersama pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali itu.
Kehadiran Hamilton bersama Ferrari menimbulkan tanda tanya mengenai hala tujuh Sainz apabila pelumba berusia 29 tahun tersebut turut dikaitkan untuk menjadi pemandu pasukan Audi dan juga kemungkinan menyertai Mercedes.
“Menerusi berita hari ini, Scuderia Ferrari dan saya akan berpisah pada akhir tahun 2024.
“Kami masih mempunyai musim panjang pada tahun ini dan seperti biasa saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan untuk ‘Tifosi’ di seluruh dunia. Berita mengenai masa depan saya, saya akan umumkan pada masa yang sesuai,” kata Sainz.
Untuk rekod, Sainz memulakan karier bersama pasukan Ferrari pada tahun 2021 untuk menggantikan tempat Sebastian Vettel.
Sepanjang tiga tahun bersama Ferrari, dia telah melakar dua kemenangan iaitu di Grand Prix (GP) Britain pada 2022 dan GP Singapura pada 2023. – AGENSI