PENGORBANAN skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara dinobatkan sebagai naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman kelmarin menerima perkhabaran gembira apabila bakal menerima peruntukan tambahan berjumlah RM3.9 juta.
Peruntukan tersebut sebagai persiapan untuk melaksanakan program pembangunan hoki 5s lelaki dan wanita dalam tempoh lima tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan yang bakal diberikan bermula tahun ini itu sebagai persediaan membentuk pasukan terbaik bagi kempen Piala Dunia 2028.
“Persiapan perlu dibuat bermula sekarang dan kita akan berikan yang diperlukan mereka bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar pada empat tahun akan datang.
“Kita tidak mahu persediaan hanya dilakukan pada 2027 untuk bersaing pada 2028. Jadi, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF).
“Kita hanya perlu menunggu kelulusan kerana peruntukan ini tidak termasuk dalam perancangan sebelum ini.
“Saya yakin kerajaan akan mempertimbangkannya kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah mengucapkan tahniah kepada pasukan, jadi saya yakin kerajaan akan memberi sokongan,” kata Hannah.
Hannah turut menambah bahawa pasukan itu bakal menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM80,000 atas pencapaian membanggakan tersebut.
Katanya, KBS juga akan membuat pembayaran wang perbelanjaan semula yang dikeluarkan MHC bagi kempen Piala Dunia Hoki 5s kali ini.