fbpx

FIFA terus puji Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESTASI Harimau Malaya ketika mengikat Korea Selatan terus mendapat perhatian FIFA yang memuji transformasi pasukan itu.

KEPUTUSAN seri 3-3 dengan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia terus mengangkat reputasi Harimau Malaya apabila sekali lagi mendapat pengiktirafan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Badan induk bola sepak dunia itu memuji transformasi dilakukan oleh Kim Pan-gon dan menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu daripada lima pasukan yang mencuri perhatian sebelum menyambung aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Mac ini.

“Di pusingan kedua kelayakan Asia, semuanya diketuai oleh pasukan terkuat seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi, namun Malaysia juga menonjol apabila mempamerkan aksi terbaik dalam Kumpulan D.

“Mereka mencatatkan rekod baik (kemenangan bersih) dengan mengalahkan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada dua aksi awal November lalu,” jelas FIFA.

Mac ini, Harimau Malaya dijadualkan bermain dua lagi aksi bertemu Oman dan FIFA turut merasakan Malaysia berhak untuk bercita-cita tinggi bagi mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D.

Empat lagi pasukan yang turut mendapat pujian daripada FIFA adalah Comoros, Ecuador, Rwanda dan Venezuela.

Berdasarkan prestasi semasa, Malaysia berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 buat pertama kali sekaligus layak ke Piala Asia secara merit buat kali kedua berturut-turut pada edisi 2027.

“Jika kami boleh mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, ia pasti akan menghadirkan kegembiraan buat rakyat Malaysia. Saya mahu terus melakukan perubahan besar terutamanya dalam aspek pembangunan bola sepak,” jelas Pan-gon yang dipetik menerusi laman sesawang FIFA.

Untuk rekod, Malaysia kini merekodkan lima kemenangan dalam tujuh aksi terakhir di kelayakan Piala Dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI