LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou mencabar pemain baharu pasukan, Timo Werner untuk terus ‘mengganas’ pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Everton di Goodison Park malam ini.
Sebagai rekod, Werner yang baru menyertai Spurs pada bulan lepas mempamerkan prestasi mengagumkan ketika membantu pasukan menewaskan Brentford 3-2 kelmarin dengan melakukan dua bantuan jaringan.
Menurut Postecoglou, apa yang ditampilkan oleh pemain antarabangsa Jerman itu hanyalah permulaan kerana percaya masih banyak elemen kejutan yang bakal dilakukannya sehingga penghujung musim nanti.
“Saya lihat Werner antara pemain kami yang paling menyinar di posisi serangan, tetapi apa yang ditampilkan belum sempurna. Dia juga dilihat tidak dapat keserasian penuh bersama rakan-rakan sepasukan lain.
“Namun, saya gembira dia berjaya membantu pasukan meraih dua gol pada perlawanan lepas dan jika diberi ruang serta masa, dia akan lebih efektif terutama untuk membantu pasukan menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, Werner mengakui pengalaman bersama Chelsea banyak membantu dirinya menyesuaikan diri bersama Spurs kerana bukan hanya gol yang memainkan peranan, sebaliknya bantuan jaringan juga cukup penting buat pasukan.
“Sebagai pemain di posisi serangan, saya akan berusaha membantu pasukan sebaik mungkin. Jika saya gagal menjaringkan gol, saya akan pastikan peluang dapat dicipta buat rakan-rakan untuk jaringkan gol,” katanya. – AGENSI