KOTA KINABALU – Ekoran melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan secara sukarela terhadap guru sekolah menengah, seorang ejen hartanah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.
Bagaimanapun, Daniel Dean Wong Kok Ching, 49, mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Stephanie Sherron Abbie.
Tertuduh merupakan bapa kepada seorang pelajar sekolah menengah yang mengasari seorang guru berikutan mengambil tindakan ke atas anaknya yang ditangkap merokok dalam kawasan sekolah pada 29 Januari lalu.
Daniel dalam pertuduhan pertama didakwa melakukan ugutan jenayah di perkarangan gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu terhadap seorang guru lelaki berumur 40 tahun pada 29 Januari lalu sekitar pukul 9.30 pagi.
Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip.
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan 7 Mac depan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Semantara itu, Nahra menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua kes dengan dua penjamin tempatan.
Bagaimanapun, Chun Yuan meminta jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan jumlah itu hanya untuk memastikan kehadiran, bukan hukuman. – KOSMO! ONLINE