SEGAMAT – Kegiatan acu parang, ikat mangsa dan samun lima sekawan akhirnya tumpas susulan penahanan kelima-lima suspek warga tempatan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah kesemua suspek itu kini sedang menjalani perbicaraan didakwa di Mahkamah Segamat.
“Suspek dipercayai terbabit dengan kes samun terhadap seorang mangsa di rumahnya di Taman Chaah Baru, Segamat dengan kes dilapor pada 28 November lalu.
“Suspek bukan hanya mengacukan parang, mengikat tangan mangsa, malah bertindak mengambil kad ATM serta melakukan pengeluaran berjumlah RM7, 400,” katanya ditemui di IPD Segamat di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, suspek yang berusia antara 22 hingga 49 tahun tersebut ditahan dalam operasi di Alor Gajah, Melaka dan Port Dickson, Rembau, Negeri Sembilan, pada akhir November tahun lalu.
Ke semua suspek didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat. – KOSMO! ONLINE