BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang wanita di Brooklyn, negeri New York menuang petrol pada seorang jirannya sebelum membakar mangsa kerana enggan membayar hutang, lapor akhbar New York Post semalam.
Denise Wylie, 62, dikatakan berang ketika mengutip hutang di rumah jirannya apabila lelaki itu meminta untuk melangsaikannya pada hari lain.
Wylie kemudian menyimbah petrol pada muka dan belakang badan mangsa sebelum membakarnya dalam kejadian di bangunan pangsapuri Chester Street sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) Ahad lalu.
Mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Staten Island dalam keadaan kritikal.
Wylie ditahan pada Isnin lalu dan didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk cubaan membunuh, menyerang, melakukan ancaman dan memiliki senjata. – AGENSI