fbpx

Siqma bukan Malique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIGMA

SEDANG asyik menggerakkan tetikus komputer riba yang ralit memilih muzik pilihan di laman YouTube, tumpuan mata penulis terarah kepada karya bertajuk Dipinggirkan dendangan penyanyi hip hop, Siqma.

Pada pengamatan penulis, ritma lagu dan gaya suaranya saling tak tumpah seperti legenda rap tanah air Malique Ibrahim yang pernah meledak bersama duo Too Phat satu ketika dahulu.

Sementelah dalam ruangan komen pula ramai memberi pujian, seolah-olah ‘jiwa’ Malique sedang melingkar di dalam tubuh jejaka berusia 27 tahun itu.

Bahkan, dia turut diberi jolokan ‘The New Malique’ oleh peminat yang menyambut baik kehadirannya sebagai pelapis baharu penggiat muzik hip hop tanah air.

Peniru

Mengulas lanjut mengenai gelaran ‘The New Malique’, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui tidak pernah membandingkan karyanya dengan sesiapa, jauh sekali untuk menandingi atau dibandingkan dengan Malique.

Dedah Siqma, sebelum ‘terjun’ ke dunia nyanyian secara profesional, dia terlebih dahulu berjinak dengan muzik ‘underground’ sejak 2017 dan pernah memuat naik beberapa lagu ciptaanya dalam Youtube.

Himpunan lagu seperti Cemas, Salam 1001 dan Raja Simurgh, kemudiannya perlahan-lahan mengangkat namanya ke persada muzik arus perdana secara serius.

RITMA lagu dan gaya suara Siqma tidak tumpah seperti Malique sehingga dia diberi jolokan ‘The New Malique’ oleh peminat.

“Semasa lagu sebelum ini, saya tak pernah cakap pun tiru Malique. Jauh sekali nak samakan diri yang kerdil ini dengan dia. Masih banyak lagi pencapaian yang perlu dikejar untuk betul-betul layak dibandingkan dengan Malique.

“Gelaran ‘The New Malique’ itu diberi oleh peminat selepas lagu Raja Simurgh dikeluarkan pada 2018 tiba-tiba menjadi tular.

“Saya akui Malique adalah sumber rujukan saya dalam penghasilan ritma puisi berlagu dan cara penulisan lirik. Malah saya percaya mana-mana penyanyi hip hop pun akan jadikan dia sebagai inspirasi apabila berminat untuk ceburi muzik hip hop.

“Saya tetap menghormati pandangan peminat dan mereka berhak mahu kongsikan pendapat mengenai muzik yang saya bawa. Mungkin suara saya lebih kurang sama seperti Malique, itu elemen yang sukar untuk diubah,” katanya ketika dihubungi HibGLam.

Kolaboratif

Ibarat bulan jatuh ke riba, tahun lalu Siqma diminta oleh Luca Sicta untuk menulis lirik dan melodi sebuah lagu berjudul Rampung nyanyian Ben Ladin.

Dari situ, bermula detik keemasan buat Siqma untuk bekerja dengan Malique yang selama ini dianggap idola dalam dunia hip hop.

“Saya sungguh bertuah apabila sekali lagi dihubungi Luca dan memberitahu bahawa Malique ingin berjumpa dengan saya pada Mac tahun lalu.

“Kepercayaan yang diberikan Malique itu saya gunakan sebaiknya dengan menyiapkan lagu Rampung bersama-sama.

“Peluang bekerja dengan Malique hanya hadir sekali seumur hidup, sebab itu saya sambut baik pelawaan Malique untuk menyiapkan lagu nyanyian Ben Ladin dengan rasa besar hati,” ujarnya.

SIQMA menjadikan Malique sebagai inspirasi untuk menghasilkan ritma puisi berlagu.

Tambah Siqma, kerjasama mereka tidak terhenti di situ sahaja, malah Malique yang dapat ‘menghidu’ bakatnya, yakin dia mampu bersinar bak bintang satu hari nanti.

“Saya berterima kasih kepada Malique kerana dialah orang yang memperkenalkan saya dengan pihak Universal Music Malaysia dan secara rasminya saya menjadi artis bernaung bawah syarikat itu.

“Malique banyak nasihatkan saya supaya jangan putus asa dan kalau boleh biar karya kita dikenali seluruh Malaysia. Dia juga berpesan untuk teruskan legasi muzik hip hop ini sampai bila-bila.

“Dia juga tidak kisah jika peminat samakan saya dengan dirinya. Malah, dia kata buat apa sahaja yang saya rasa terbaik dan selesa, lama-kelamaan pasti akan temui identiti dan stail sendiri.

“Penerimaan orang Malaysia terhadap lagu berentak hip-hop ketika ini sangat baik, tidak kira di bandar atau di luar bandar.

“Lagi pun dalam lirik diselitkan perkataan yang mungkin orang kita jarang dengar, jadi secara tidak langsung mereka dapat belajar perkataan baharu,” ulasnya.

Dipinggirkan

Kolaboratif Siwqma dan Malique berterusan apabila terhasilnya single terbaharu berjudul Dipinggirkan. Lagu tersebut telah pun dilancarkan pada 20 November lalu.

Bercakap mengenai Dipinggirkan, Siqma menganggap karya tersebut sebagai sentuhan magis yang cukup istimewa daripada seorang figura yang dianggap sebagai guru.

Lebih istimewa, Siqma turut bergandingan dengan Fahimi Rahmat dan Mal Hamka atau lebih dikenali sebagai FML.

“Dipinggirkan merupakan ciptaan Malique dan Fahimi Rahmat. Liriknya pula ditulis bersama Kmy Kmo dan saya sendiri. Kali ini saya cuba bereksperimentasi dengan rentak R&B.

“Saya menyifatkan peluang mendendangkan karya ciptaan dan terbitan Malique ialah suatu pengalaman manis dan berharga buat saya.

“Saya berharap gandingan kami tidak berhenti setakat Dipinggirkan sahaja. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya inginkan lagi magis Malique dalam lagu-lagu akan datang,” pintanya.

SINGLE terbaharu Siqma berjudul Dipinggirkan menyaksikan dia bergandingan dengan FML.

Berkongsi cetusan ilham menghasilkan Dipinggirkan, menurut Siqma, lirik lagu tersebut dikaitkan tentang pemergian ibunda tercinta, Zahara Jaafar akibat kanser paru-paru tiga tahun lalu.

“Saya suka buat lagu berdasarkan pengalaman sendiri. Cara sebegitu membuatkan lagu lebih mudah dijiwai.

“Jadi, saya cuba kaitkan lirik Dipinggirkan dengan kehilangan ibu saya. Memang asalnya saya dan yang lain mahukan sebuah karya universal agar lebih mudah diterima pendengar.

“Malah, penceritaan Dipinggirkan ini pun kalau diamati mengenai seseorang yang hampir berputus asa dan rasa terpinggir. Tetapi apabila lalui segala kesusahan dalam kehidupan, semangatnya mula bangkit.

“Tiap kali saya alunkan lagu ini, saya akan rasa semangat arwah ibu itu ada dalam diri. Dia memberi suntikan emosi dalam lagu ini secara penuh,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI