MELAKA – Tular satu klip video di laman sosial hari ini memaparkan seorang pekerja sebuah restoran dipercayai di Jalan Hang Tuah dekat sini membuang air kecil di longkang berhampiran premis makanan berkenaan.
Sikap pengotor lelaki itu sempat dirakamkan seorang individu dalam klip berdurasi 21 saat.
Berdasarkan video itu, pekerja berkenaan yang memakai apron dan penutup kepala dilihat dengan selamba membuang air kecil di longkang belakang premis sambil memeriksa keadaan sekelilingnya.
Dia kemudian terus beredar dipercayai untuk masuk semula ke dalam restoran tanpa membasuh tangan.
Tinjauan pemberita di lokasi dipercayai tempat lelaki terbabit bekerja mendapati premis itu tidak mempunyai kemudahan asas tandas di dalamnya. – KOSMO! ONLINE