MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan sebanyak 2,002 kompaun bernilai RM1,019,150 ke atas premis makanan kerana didapati tidak bersih sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Menurutnya, JKN telah menjalankan pemeriksaan ke atas 6,010 premis makananan dengan 61 daripadanya diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Antara kesalahan utama premis dikenakan kompaun kerana tidak bersih. Dapur didapati kotor, tempat simpan barang, selain pekedai pula tidak memakai apron.
“Sepanjang tahun ini pula sebanyak 347 premis telah diperiksa di mana empat telah diarahkan tutup dan 73 dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM25,200,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC) di salah sebuah pasar raya di Batu Berendam di sini, semalam.
Tambah Hee Sem, daripada 6,010 premis membabitkan restoran, kedai makan dan penjaja yang diperiksa, sebanyak 2,219 premis mencapai gred A iaitu antara 86 hingga 100 peratus, 903 (gred B), 48 (gred C) dan empat di bawah 43 peratus.
“Mengenai pemantauan terhadap produk makanan pula, sepanjang Op TBC sehingga 30 Januari lalu, sebanyak 782 produk makanan disita membabitkan nilai RM3421.88.
“Produk terbabit telah dikeluarkan daripada rak pameran jualan mengikut Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983,” ujarnya.