THE HAGUE, BELANDA – Panel hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati Russia melanggar syarat perjanjian antikeganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun menolak dakwaan Ukraine bahawa Moscow bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 pada 2014.
Akhbar Arab News melaporkan, Russia juga didapati melanggar perjanjian antidiskriminasi selepas gagal menyokong pengajaran bahasa Ukraine di Semenanjung Crimea selepas Moscow menakluki rantau berkenaan pada 2014.
ICJ menolak permintaan Ukraine untuk menuntut ganti rugi bagi kedua-dua pelanggaran tersebut, sebaliknya hanya mengarahkan Russia mematuhi peraturan PBB.
Ukraine memfailkan tuntutan di ICJ yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia pada 2017. Kiev menuduh Russia melanggar perjanjian antikeganasan PBB kerana membiayai pemberontak pro-Kremlin di Ukraine.
Hakim ICJ berkata, Moscow melanggar perjanjian antikeganasan PBB kerana gagal menyiasat dakwaan munasabah bahawa sejumlah dana dihantar dari Russia ke Ukraine bagi membiayai aktiviti keganasan.
Mahkamah sama bagaimanapun enggan membuat keputusan mengenai tragedi MH17. Menurut ICJ, penyalahgunaan dana itu merangkumi aspek kewangan, dan tiada kaitan dengan aktiviti membekalkan senjata atau latihan seperti didakwa oleh Ukraine.
Ukraine sebelum ini berhujah bahawa dalam kes MH17, Russia membekalkan sistem peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu tetapi Kiev gagal mengaitkannya dengan bantuan kewangan Moscow kepada puak pemisah pro-Russia di Ukraine.
Dalam perbicaraan mahkamah di The Hague pada Jun tahun lalu, Russia menolak dakwaan Ukraine menyatakan ia membiayai dan mengawal kumpulan pemisah pro-Russia di timur Ukraine. Moscow menyifatkan dakwaan itu sebagai fiksyen dan ‘pembohongan terang-terangan’. – AGENSI