fbpx

Kes aniaya anjing, kucing catat paling tinggi tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Saira (tengah) ketika sidang akhbar di pejabat JPV negeri, Jalan Bukit Tengah, petang tadi.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 265 aduan mengenai isu penganiayaan dan kebajikan haiwan diterima Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sepanjang tahun lalu dengan lima kertas siasatan dibuka.

Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kesemua kes disiasat di bawah seksyen 29(1)(e) iaitu menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap mana-mana haiwan.

Menurutnya, sabit kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, mereka yang bersalah boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara selama tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk pengetahuan, daripada keseluruhan aduan yang kita terima, spesies anjing dan kucing adalah haiwan yang paling banyak dianiaya dan antara bentuk penganiayaan yang kita terima berdasarkan laporan adalah dikurung atau dipelihara dalam kandang atau sangkar yang sangat kecil.

“Ada juga haiwan yang diikat di tengah panas iaitu bukan di tempat yang ada perlindungan. Selain itu, ada haiwan yang tidak diberi makanan yang secukupnya serta kes-kes seperti mencederakan haiwan.

“Terdapat juga kes haiwan-haiwan ini diracun terutamanya melibatkan anjing-anjing atau kucing-kucing yang terbiar,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Pembentangan Laporan Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi tahun 2023 di ibu pejabat JPV negeri di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini, petang tadi.

Dalam pada itu katanya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak tujuh kes iaitu melibatkan aktiviti memindah atau menyebabkan dipindah mana-mana haiwan dalam negeri ini tanpa kebenaran daripada Pengarah JPV Pulau Pinang di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

Daripada jumlah itu katanya, kes melibatkan ternakan lembu dan kerbau adalah sebanyak 23 ekor dengan jumlah denda serta lucuk hak yang dikenakan masing-masing adalah sebanyak RM12,500 dan RM22,300.

Jelasnya, kes lain melibatkan 287 ekor babi dengan jumlah keseluruhan denda serta lucut hak melibatkan ketiga-tiga haiwan itu masing-masing adalah sebanyak RM26,000 dan RM100,600.

“Di bawah Enakmen Penternakan Babi yang dikuatkuasakan mulai 2021 pula, sebanyak 34 kes dikesan di kesemua lima daerah di negeri ini dengan jumlah kompaun terkumpul adalah sebanyak RM270,000,” katanya.

Dr. Saira berkata lagi, antara kesalahan yang dilakukan di bawah Enakmen Penternakan Babi 2020 itu adalah menjalankan penternakan babi tanpa suatu lesen yang sah, gagal mematuhi syarat dan sekatan yang dikenakan ke atas lesen seperti longkang tidak sempurna, tiada biosekuriti dan sebagainya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI