fbpx

Konsert Ed Sheeran diteruskan pada 24 Februari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ED SHEERAN

PUTRAJAYA – Penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari depan akan diteruskan seperti yang dijadualkan buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau juga telah merujuk mengenai perkara tersebut kepada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

“Saya ada merujuk perkara ini kepada PUSPAL (dan) saya terima baik pandangan daripada Mufti Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor) mengenai perkara ini.

“Namun, antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui PUSPAL adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya. Insya-Allah, kita akan teliti sekiranya perlu diambil (sebarang) tindakan,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pandangan Mufti Pulau Pinang yang memohon supaya kementerian berkenaan menghormati pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak sebelum menganjurkan acara hiburan.

Kata Fahmi lagi, buat masa ini tiada sebarang perubahan kepada kelulusan permohonan untuk mengadakan konsert tersebut.

“Buat masa ini, belum ada apa-apa perubahan kepada kelulusan yang diberi sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI