fbpx

Suap kek ke mulut bapa sehari sebelum maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bashir menyiram air mawar di atas pusara Puteri Qaseh Maisara yang maut dalam kemalangan jalan raya di Matang Jelutong, Bagan Serai semalam. Foto WAT KAMAL ABAS/KOSMO!

BAGAN SERAI – “Dia menyuap ke mulut saya sepotong kek sambil beritahu dia dapat tempat pertama di Tabika Kemas Alor Pongsu pada malam sebelum hari kejadian.”

Demikian kata, Bashir Ahmad, 36, ketika menceritakan semula sebelum dia kehilangan anak keduanya, Puteri Qaseh Maisara, 6, yang lemas di dalam parit saliran setelah motosikal dinaiki dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta di Matang Jelutong di sini semalam.

“Isteri, Siti Norlaila Mat Saaid, 32, bersama anak lelaki sulung, Ahmad Mudashir, 7; Puteri Qaseh Maisara dan anak saudara, Nur Azlin Mohd Johan, 14, dalam perjalanan pulang ke rumah dari Alor Pongsu ke Kampung Matang Merbau selepas belajar mengaji membaca al-Quran.

“Saya melihat dua buah ambulans lalu dengan keadaan laju di Jalan Selama-Bagan Serai menyebabkan hati berdebar-debar lalu menghubungi isteri namun gagal menyebabkan saya cuba untuk mencari mereka dan diberitahu oleh orang ramai anak-anak dan isteri terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengebumian Puteri Kasih Maisara di Tanah Perkuburan Islam Sungai Semambu di sini hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka suapan sepotong kek dari Puteri Qaseh Maisara kepadanya merupakan tanda anaknya itu akan pergi selamanya.

“Ketika sampai ke tempat kejadian saya hanya melihat isteri saya berlumuran darah di bahagian muka manakala kedua-dua anak serta anak saudara telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar.

“Pada masa sama, isteri telah beritahu pada orang ramai bahawa anak saya yang ketiga, Puteri Qaseh Sheghra, 4, masih berada di dalam parit saliran menyebabkan orang ramai terjun mencari,” katanya.

Menurut Bashir Ahmad, setelah dia dan orang ramai mencari hampir 40 minit, barulah diberitahu bahawa anak perempuannya itu telah diambil oleh ibu saudara mereka dan tidak menaiki motosikal dengan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang datang dari arah Alor Pongsu menghala ke arah Bagan Serai telah melanggar bahagian belakang motosikal yang berada di sebelah kiri jalan.

“Impak pelanggaran itu telah menyebabkan penunggang motosikal bersama tiga pemboncengnya terhumban jatuh ke dalam parit saliran yang berada di bahu jalan.

“Akibatnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun telah tidak sedarkan diri manakala tiga yang lain mendapat kecederaan,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal bersama tiga yang lain telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan.

“Kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut. Penunggang wanita, pembonceng remaja perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki mengalami cedera parah dibahagian kepala dan muka.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI