IPOH – Dua buah premis perniagaan di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Laksamana di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam berkaitan penjualan telefon dan aksesori telefon berjenama terkenal disyaki tiruan dengan rampasan bernilai RM10,869 direkodkan dalam operasi tersebut.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi berkenaan dilakukan berikutan aduan oleh wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan barangan berkenaan di kedua-dua premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati premis ini sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan menjual telefon serta aksesori peralatan telefon pelbagai jenama yang disyaki tiruan.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN telah menemui 11 unit telefon dan 31 unit aksesori telefon yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata, wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Menurutnya, kesalahan itu ialah mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Dua lelaki tempatan berusia 30-an telah ditahan sementara untuk membantu siasatan dan semua barangan yang disyaki menggunakan cap dagang palsu dan dokumen yang berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,869,” katanya. – KOSMO! ONLINE