ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung saman fitnah isu pembelian Toyota Vellfire, empat tahun lalu.
Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan demikian selepas Muhammad Sanusi selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Mahfuz selaku defendan.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu diperintahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 dan ganti rugi tauladan sebanyak RM50,000 serta kos RM30,000.
Mahfuz turut diperintahkan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi dengan ia perlu diterbitkan masing-masing di sebuah akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat.
Permohonan maaf tersebut juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik Mahfuz dengan terma permohonan maaf hendaklah disemak dan dipersetujui plaintif.
Selain itu, Mahfuz diperintah untuk menarik balik hantaran Facebook dan video yang dimuat naik serta dilarang memuat naik atau menyiarkan apa-apa kenyataan, video, kandungan media atau apa-apa bentuk yang mengandungi maklumat serupa atau menyentuh isu sama atau berkaitan.
Mahkamah juga mengarahkan perintah injunksi kekal bagi menghalang defendan atau mana-mana pihak daripada memuat naik, menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan dalam apa juga bentuk yang mengandungi maklumat dan kandungan serupa.
Pada prosiding hari ini, Hakim Dr. Arik Sanusi dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kesemua kenyataan Mahfuz kononnya Muhammad Sanusi membeli Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadapnya.
Muhammad Sanusi diwakili peguam, Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd. Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan sementara Mahfuz diwakili Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah.
Kes itu berkaitan hantaran dimuat naik Mahfuz di Facebooknya iaitu ‘Komen Politik Semasa’ yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi berkaitan pembelian Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi pada 17 Oktober 2020. – KOSMO! ONLINE