KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemilik butik pengantin menipu seorang bakal pengantin dalam urusan khidmat perancang perkahwinan pada tahun lalu, membawa padah apabila dia dipenjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Hasmerun Hashim, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang sebanyak RM9,000 sebanyak dua kali transaksi berjumlah ke akaun CIMB.
Akaun itu atas nama Arjuna Cinta Wedding milik tertuduh dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan khidmat perancang perkahwinan, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah residensi di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, masing-masing 23 dan 25 Ogos 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Hasmerun yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman minimum atas alasan ada tanggungan ibu bapa uzur, adik dan anak saudara.
“Saya juga mohon hukuman sebat digugurkan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dengan alasan tiada sebarang keadaan istimewa untuk gugur hukuman sebat. – KOSMO! ONLINE