JOHOR BAHRU – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seorang raja yang prihatin serta berhati mulia terhadap rakyatnya walaupun mempunyai raut wajah yang garang dan serius.
Pegawai peribadi baginda, Datuk R. Sugumaran berkata, keprihatinan baginda terhadap rakyat Johor terserlah menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diadakan saban tahun.
Dilantik sebagai aide de camp (ADC) sejak 2003, Sugumaran berkata, segala jentera kerajaan digerakkan untuk melakukan persiapan KMJ bagi menyantuni rakyat serta membantu keluarga miskin di setiap daerah.
“Tuanku amat prihatin dan cepat tersentuh melihat rakyat yang susah. Bila Tuanku lihat orang miskin, daif, cacat dan sebagainya, Tuanku akan kata, ‘kasihan, Sugu kita akan bagi bantuan kepada mereka’.
“Sepanjang konvoi, jika ada pemandu yang ‘berkampung’ menunggu pelanggan, baginda akan berhenti dan beri bantuan kewangan. Begitu juga jika berhenti makan, semua pelanggan akan dibelanja dan pengusaha kedai dapat bonus berganda,” katanya.
Sehubungan itu menurut Sugumaran, Malaysia bertuah mempunyai raja yang berjiwa rakyat dan mahu berikan yang terbaik buat mereka.
Tambahnya, Sultan Ibrahim menekankan kesempurnaan dalam semua perkara dari hal urusan kerajaan hingga ke isu rakyat dengan motto kepentingan awam mesti melebihi kepentingan peribadi.
“Saya teruja apabila baginda menjadi Agong. Tuanku sedia maklum bahawa harapan rakyat amat tinggi dan ia menjadi tugas berat, namun saya yakin baginda akan menjadi raja yang disanjungi serta diingati,” katanya.
Sugumaran turut berkongi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila menaiki kereta mewah jenis Bentley yang dipandu sendiri oleh Tuanku dari Johor ke Shah Alam, Selangor bagi menghadiri Istiadat
Pertabalan Sultan Selangor pada 2003.
“Tuanku juga suka scuba diving. Lokasi yang menjadi pilihan Tuanku adalah di Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Rawa di Mersing,” katanya.