JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 hari ini.
Tanggal 31 Januari 2024 dipilih sebagai detik pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Agong bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan semalam.
Ia merupakan kesinambungan kepada prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini sebagai tonggak kestabilan, keadilan, teras perpaduan dan penyatuan kepada rakyat selain menyuntik semangat kepada takhta pemerintahan kerajaan Persekutuan.
Istiadat keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dimulakan dengan baginda bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dari Istana Bukit Serene dengan diiringi kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar,
Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Baginda kemudian akan melalui Kawalan Kehormat Setempat oleh Johor Military Force sebelum menaiki pesawat khas dan dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor pada pukul 9 pagi.
Pada 27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Menyusuri sejarah, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 31 Julai 1981 di Istana Besar, Johor Bahru. Pelantikan berkenaan dimasyhurkan oleh Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda kemudian dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan ayahandanya di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.
Enam Menteri Besar berkhidmat di bawah pemerintahan baginda iaitu Tan Sri Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Osman Sapian, Datuk Dr. Shahruddin Jamal, Datuk Seri Hasni Mohamed dan Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Baginda sering mengadakan kunjungan hormat ke beberapa negara ASEAN. Baginda turut menerima kunjungan hormat duta dan pembesar luar.
Ini menunjukkan baginda mementingkan hubungan diplomatik yang boleh memberi impak positif kepada negara.
Hubungan baik baginda dengan pemimpin utama Singapura misalnya, banyak menyelesaikan masalah berbangkit yang wujud seperti isu imigresen, kastam dan masalah pekerja Malaysia di Singapura.
Johor juga antara negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor pertanian, iaitu 17.5 peratus atau RM101.3 bilion, sekali gus berpotensi menjadi ‘bank makanan’ negara.
Pembangunan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Johor mampu melonjakkan pembangunan wilayah, sekali gus menjadi pemacu penting dalam pembangunan sosioekonomi di Johor.
Inisiatif Segitiga Singapura, Johor dan Indonesia membabitkan tiga kawasan geografi (Johor, Singapura dan Riau) sedang diperkasa semula bagi menjana pertumbuhan ekonomi lebih progresif di wilayah selatan tanah air.
Terbaharu, Zon Khas Kewangan Forest City akan dibangunkan di tapak berkeluasan 2,832.79 hektar di atas empat pulau buatan di Forest City, dijangka melonjak dan memacu pertumbuhan ekonomi Johor serta negara.
Selain itu, hubungan antara Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sangat akrab dan istimewa.