AL RAYYAN – Jordan menempah slot suku akhir Piala Asia 2023 dengan penuh dramatik apabila meledak dua gol di hujung permainan untuk menewaskan Iraq 3-2 di Stadium Antarabangsa Khalifa kelmarin.
Pengendali Jordan, Hussein Ammouta memuji anak-anak buahnya yang tidak kenal erti putus asa dan terus berjuang mencari gol kemenangan bagi mengelak daripada bermain dalam aksi tambahan masa.
“Keyakinan tinggi para pemain membuatkan kami percaya mampu bangkit dan melakukannya seperti hari ini (kelmarin).
“Kami berjaya meledak dua gol dalam masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan dan memenangi perlawanan. Kami mengambil kesempatan terhadap situasi Iraq bermain kurang seorang.
“Saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan mentaliti yang sama dengan harapan untuk kami melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
Jordan mendahului menerusi Yazan Al-Naimat di penghujung babak pertama sebelum Iraq bangkit meledak dua gol melalui Suad Natiq dan Aymen Hussein pada minit ke-68 serta 76.
Bagaimanapun, pengadil dari Iran, Alireza Faghani melayangkan kad merah kepada Aymen kerana dia meraikan jaringan secara berlebihan.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jordan dengan dua gol daripada Yazan Al-Arab dan Nizar Al-Rashdan pada minit ke-90+5 serta 90+7 untuk menempah aksi suku akhir. – AGENSI