fbpx

K2

Bina karakter anak muda pada tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak muda seharusnya mempunyai azam tahun baharu yang bukan sekadar janji. – Gambar hiasan

PADA tahun baharu, generasi muda menghadapi cabaran yang menuntut ketabahan jiwa dan ketahanan mental.

Pencarian identiti dan hala tuju kehidupan membentuk dilema antara kehendak diri serta harapan sosial yang sering kali menimbulkan tekanan besar.

Namun, tekanan itu akan menjadi ringan sekiranya anak muda mampu melihat kehidupan dalam konteks lebih bermakna.

Anak muda harus pandai melihat bagaimana cabaran yang dihadapi boleh menjadi peluang bagi mereka untuk membangun azam baharu.

Bukan hanya untuk memperkuat diri sendiri, tetapi untuk memberi kekuatan kepada orang lain.

Kekuatan sejati anak muda terletak kepada kemampuan mereka untuk melihat jauh melebihi kepentingan diri dan memberi tanpa mengharapkan balasan.

Tindakan penuh keikhlasan itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penerima, malah buat yang memberi.

Ia adalah sumber kekuatan jiwa yang tidak ternilai dalam proses memperkaya jiwa, mengukuhkan karakter dan membentuk kekuatan dari dalam yang mampu menghadapi segala rintangan.

Jika ingin lihat dalam contoh kemelut kemanusiaan hari ini, kekuatan pemuda Palestin adalah contoh yang terbaik.

Mereka berjuang dengan gigih bukan hanya untuk agama dan negara, malah untuk prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Semangat juang anak-anak muda Pa­lestin tidak disangkal lagi, mereka harus diteladani oleh anak muda masa kini.

Keberanian dan semangat juang pemuda Palestin adalah tamsilan yang amat tepat kepada ketahanan dan kekuatan jiwa.

KEBERANIAN dan semangat juang pemuda Palestin adalah tamsila yang amat tepat. – Gambar hiasan

Di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, kelab pelajar ‘Young Da’wah Ambassador’ telah ditubuhkan hasil inspirasi perjuangan pemuda Palestin.

Ia bertitik tolak daripada inisiatif projek khidmat kemasyarakatan bagi memenuhi keperluan kursus di jabatan.

Semangat dan jiwa anak muda yang besar dalam kalangan para pelajar telah membangun sebuah inovasi daripada kelas menjadi sebuah kelab.

Pembenihan sifat-sifat keimanan yang betul, kesatuan, empati dan semangat kepemudaan yang ditanam dalam jiwa menerusi kelas tersebut dapat membimbing mereka membuat perubahan signifikan dan positif.

Benarlah kata-kata, Presiden Indonesia pertama, Soekarno; “Berikan aku 10 pemuda nescaya akan aku goncangkan dunia”.

Kata-kata Soekarno itu menunjukkan betapa hebatnya semangat orang muda. Betapa ruginya jika ia dipersiakan.

Cerita pemuda Ashabul Kahfi yang terpateri dalam al-Quran juga memberikan inspirasi yang mendalam.

Dengan kekuatan jiwa dan keimanan mereka kepada kebenaran, Allah SWT memberi petunjuk kepada mereka, sebagaimana dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, ayat 13.

Kisah ini mengajarkan bahawa dengan kekuatan iman dan tekad yang kuat, kita dapat mengatasi rintangan serta menemukan petunjuk dalam perjalanan hidup.

Apakah yang diberi oleh pemuda-pemuda soleh dalam kisah ini? Semangat, pengorbanan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Bahkan, apa yang paling penting adalah keikhlasan terhadap apa yang diberikan oleh pemuda-pemuda tersebut.

Justeru, Allah tambahkan petunjuk untuk kesemuanya.

Sehubungan itu, azam tahun baharu bagi anak muda seharusnya menjadi lebih daripada sekadar janji.

Ini adalah komitmen untuk pertumbuhan diri yang berterusan supaya kita dapat belajar menjadi lebih kuat dengan memberi dan berbagi.

Dengan memfokuskan pada pengembangan diri dan memberi manfaat kepada orang lain, kita dapat membawa perubahan positif dalam diri sendiri dan masyarakat.

Ini adalah kekuatan sejati yang dapat mengubah dunia, satu tindakan baik pada satu waktu, menciptakan masa depan lebih cerah dan bermakna bagi kita semua.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI