fbpx

53 pembeli Rumah Perakku I terima surat tawaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sandrea (dua dari kanan) menyerahkan surat tawaran Rumah Perakku kepada salah seorang pembeli di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

IPOH – Seramai 53 orang pembeli Rumah Perakku I (Kos Rendah) menerima surat tawaran masing-masing yang disampaikan kepada mereka dalam satu majlis anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching yang menyempurnakan majlis itu berkata, projek itu dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan dan sasaran pembeli adalah golongan B40 yang belum memiliki rumah sendiri.

“Projek Rumah Perakku di Chemor ini melibatkan dua komponen perumahan iaitu 53 unit rumah Perakku I (Kos Rendah) dan 61 unit Rumah Perakku III (Mampu Milik).

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan tanah seluas 5.5 hektar khusus bagi melaksanakan projek Rumah Perakku ini demi untuk kesejahteraan rakyat,” katanya di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Rumah Perakku I (Kos Rendah) di Chemor ini dibina dengan keluasan 81.7 meter persegi yang lengkap dengan ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga buah bilik tidur dan dua bilik air.

Harga yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM90,000 sebuah bagi lot tengah dan tidak melebihi RM180,000 bagi lot yang mempunyai lebihan tanah.

Dalam pada itu, wakil bank-bank dan pejabat peguam turut hadir pada majlis tersebut bagi memudahkan penerima surat tawaran untuk terus membuat semakan kelayakan pembiayaan dan juga mendapat khidmat nasihat daripada panel peguam yang dilantik.

Sandrea berkata, ini merupakan satu penambahbaikan penyampaian perkhidmatan LPHP kepada bakal pembeli rumah yang mana pembeli boleh terus berjumpa dengan wakil bank serta peguam pada hari dan lokasi sama.

“Ini secara tidak langsung memudahkan pembeli rumah seterusnya dapat menjimatkan masa dan kos yang perlu ditanggung.

“LPHP juga telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan bank-bank di bawah Skim Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) untuk membantu pembeli-pembeli yang gagal mendapatkan pinjaman bank bagi pembiayaan rumah disebabkan bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI