GEORGE TOWN – Seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati selepas dirempuh dan dihempap sebuah kereta yang terjatuh setinggi enam meter dari tempat meletak kereta di Kondominium Green Lane Park di sini hari ini.
Mayat Kim Hui Ping, 49, yang ketika kejadian sedang berjalan kaki ditemui tersepit di bawah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan terlentang dan dengan kecederaan parah kira-kira pukul 11.50 pagi.
Kereta terbabit dipandu oleh seorang wanita warga emas berusia 71 tahun.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.54 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, bomba mendapati pemandu tersepit di dalam keretanya.
“Anggota memberi rawatan awal kepada pemandu kereta terbabit sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang manakala seorang lagi mati di tempat kejadian oleh pakar perubatan.
“Usaha membawa keluar mayat wanita itu mengambil masa kurang 15 minit dan telah diserahkan kepada polis untuk tindkaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE