PONTIAN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersyukur dapat menduduki peperiksaan ujian bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi dengan menggunakan katil khas mulai hari ini.
Airel Muqrish Azhari, 17, yang terlibat dalam kemalangan pada 8 Januari lalu akan menggunakan katil khas yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan sehingga peperiksaan selesai.
Katanya, kemalangan tersebut berlaku ketika dia pulang menghadiri kelas tambahan di SMK Ayer Baloi, apabila sebuah kereta tiba-tiba keluar dari Simpang Pekan Kampung Jawa dan melanggarnya.
“Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami patah tulang paha kanan dan retak bahagian pergelangan kaki dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum menjalani pembedahan penyambungan tulang peha pada 11 Januari lalu.
“Selepas empat jam menjalani pembedahan, saya terpaksa menduduki peperiksaan SPM bertutur Bahasa Melayu di hospital tersebut pada hari yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Api-Api, di sini.
Tambah Airel Muqrish, walaupun terpaksa belajar sendiri di rumah selepas balik dari HSA, dia berazam untuk mendapat keputusan yang baik sebagai tiket bagi menyambung pelajaran ke universiti.
“Pergerakan saya ketika ini menggunakan kerusi roda memandangkan penyambungan tulang peha akan mengambil masa tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya,” ujarnya.
Sementara bapanya, Azhari Abu, 48, berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran SMK Ayer Baloi kerana membenarkan anaknya menduduki peperiksaan SPM sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK)
Katanya, begitu juga dengan pertolongan ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan yang telah menghantar katil khas bagi membolehkan anaknya menduduki peperiksaan menggunakan katil tersebut.
“Memandangkan Airel Muqrish masih belum dapat bergerak bersendirian, saya dan isteri, Ayusahida Md. Dali, 45 akan bergilir-gilir menjaganya sehingga peperiksaan berakhir pada 27 Februari depan,” ujarnya yang bekerja di Kilang Shimano Components di Pekan Nanas. – KOSMO! ONLINE