KUALA LUMPUR – Dua gol pantas dan dua layangan kad merah melengkapkan cerita kejayaan Jordan yang mara ke suku akhir Piala Asia selepas menewaskan juara 2007, Iraq 3-2 pada pusingan 16 terbaik di Stadium Khalifa International sebentar tadi.
Statistik perlawanan yang menunjukkan penguasaan Iraq yang mendominasi 63.9 peratus babak pertama seakan langsung tidak menggambarkan keputusan akhir untuk tempoh 45 minit pertama.
Serangan Jordan jelas lebih garang, menyaksikan The Chivalrous Ones berjaya mencipta tujuh percubaan dengan tiga daripadanya tepat ke arah pintu gol Iraq.
Ketika aksi mula memasuki masa kecederaan, bintang sensasi Jordan, Yazan Al Naimat akhirnya memecah kebuntuan untuk menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Kira-kira 10 minit selepas aksi bersambung, Iraq mula memasukkan bekas lepasan akademi Manchester United, Zidane Iqbal bagi membolehkan Lions of Mesopotamia kekal mendominasi permainan.
Minit ke-68, Suad Natiq kembali menyamakan kedudukan namun empat minit selepas itu, pertahanan berkenaan terpaksa meninggalkan perlawanan lebih awal apabila alami kecederaan dan digantikan oleh Ali Adnan.
Selang lapan minit selepas itu, Aymen Hussein dihimpit perasaan bercampur baur apabila diarahkan keluar padang selepas pengadil perlawanan, Alireza Faghani melayangkan kad kuning kedua kerana mendakwa penyerang itu sengaja melambat-lambatkan perlawanan ketika meraikan gol kedua Iraq.
Kelebihan seorang pemain pantas dimanfaatkan oleh Jordan yang berjaya menambah dua lagi gol dalam tempoh dua minit di masa kecederaan menerusi Yazan Al Arab dan Nizar Al Rashdan.
Di suku akir, Jordan akan bertemu Tajikistan yang sudah pun cipta sensasi dengan menyingkirkan Emiriah Arab bersatu (UAE). – KOSMO! ONLINE