fbpx

5 tahun penuh cabaran, zikir pancar wajah tenang Al-Sultan Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERING dilihat berwajah tenang biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran berat dalam tempoh lima tahun ini termasuk pandemik dan kemelut politik yang panjang, Al-Sultan Abdullah memberitahu baginda melazimi diri dengan kuat berzikir dan solat.

PADA malam 17 Januari lalu, orang ramai tidak sabar mahu menonton berita Buletin Utama di TV3 kerana buat kali pertama dalam sejarah negara, mereka boleh melihat Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membaca berita.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli membaca berita dalam penampilan istimewa slot Buletin Diraja selama hampir 15 minit.

Ramai yang teruja kerana itu mungkin antara detik-detik terakhir penampilan baginda dan permaisuri sebagai pemegang tampuk pemerintahan tertinggi negara sebelum mengakhiri tugas sebagai YDPA pada hari ini.

Menjalankan tugas selaklu YDPA ke-16 sejak 31 Januari 2019, kini genaplah lima tahun baginda bersemayam di takhta tertinggi negara. Seluruh rakyat jelata pasti akan merindui pasangan tersebut yang terkenal dengan sikap mesra, selain berjiwa rakyat.

Pelbagai suka dan duka dilalui baginda sepanjang lima tahun pemerintahan telah dikongsi bersama pihak media di Istana Negara baru-baru ini. Baginda bertitah bahawa detik pertama kali datang ke Istana Negara adalah satu kenangan cukup manis.

Titah baginda, membantu rakyat ketika kemalangan di jalan raya, menyantuni peniaga di gerai makanan, restoran, merakam swafoto dan bergurau senda bersama mereka sebagai antara kenangan manis yang dirasai sepanjang menjadi ketua negara.

Sepanjang bergelar Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa pengalaman pahit yang dilaluinya pula, ‘tidak begitu pahit’ dan dianggap sebagai cabaran.

Baginda terpaksa melakukan apa yang termampu untuk mententeramkan keadaan negara, menstabilkan politik serta mengekalkan keharmonian sehingga hari ini.

AL-SULTAN ABDULLAH (tiga dari kiri) bersama Tunku Azizah (kanan) bakal mengakhiri tugas sebagai YDPA dan Raja Permaisuri Agong pada hari ini selepas lima tahun menerajui tampuk pemerintahan negara.

Menyingkap lipatan sejarah negara, Al-Sultan Abdullah merupakan satu-satunya Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara bersama empat Perdana Menteri (PM) dan empat Jemaah Menteri berlainan.

Pelbagai peristiwa dan badai gelora telah ditempuh, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air.

“Keadaan politik tidak tenteram, saya anggap sebagai satu keadaan yang sedih. Semasa kerajaan ditubuhkan pada 2019, kita mengharapkan agar negara mendapat pentadbiran sebaik mungkin, namun sebaliknya berlaku.

“Pertukaran kerajaan bukan perkara mudah dan bukan juga perkara yang harus dipraktikkan sewenang-wenangnya kerana ia akan merugikan negara dan juga rakyat.

“Kita ada proses demokrasi yang sudah tertulis setiap lima tahun, kita ada pilihan raya.

“Jadi, biarlah sekurang-kurangnya empat ke lima tahun sesebuah kerajaan untuk memerintah, bukan sekadar hanya setahun atau dua tahun tukar dengan sewenang-wenangnya.

“Itu antara kenangan dan pengalaman yang sukar saya terima,” titah baginda.

RAKYAT teruja berswafoto bersama Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Selain politik, Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa situasi pandemik Covid-19 merupakan tempoh yang cukup menekan tugas baginda sebagai Agong kerana terpaksa menelan hakikat negara kehilangan ramai rakyat.

“Kita juga berada di dalam kegelapan kerana ketiadaan vaksin pada ketika itu dan mungkin kelewatan menerima vaksin.

“Pada masa sama, kita terpaksa menanggung kerugian dari segi ekonomi. Ramai daripada kita, sudah sengsara sewaktu Covid-19 selama dua tahun dan saya amat simpati.

“Itu antara perkara luar jangkaan, memang sukar bagi mana-mana raja dan pemerintah untuk selesaikan dengan sekelip mata kerana ia merupakan fenomena dunia atau krisis global,” titah baginda.

PENAMPILAN ringkas baginda.

Kebijaksanaan dan sikap tenang Al-Sultan Abdullah tatkala berdepan cabaran mentadbir urus negara merupakan sesuatu yang cukup dikagumi rakyat jelata.

Ditanya bagaimana ketenangan itu diraih dalam dirinya, Tuanku berkongsi, baginda telah dididik untuk banyak bersabar.

“Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar. Apabila kita sembahyang, kuat berzikir, ia sedikit sebanyak membantu. Bukan nak kata saya begitu warak tapi amalan buat selama ini sekurangnya mententeram jiwa.

“Bukan nak menonjolkan diri saya alim ulama tapi apabila kita sudah biasa berzikir dan beramal dengan amalan-amalan ini, insya-Allah, ia (ketenangan) akan datang dengan sendirinya,” titah Al-Sultan Abdullah tentang cara baginda mengendalikan semua situasi.

Al-Sultan Abdullah membaca al-Quran dalam satu majlis semasa era pandemik.

Bercerita lanjut tentang pengalaman berdepan empat PM, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda akan memanggil PM setiap petang Selasa untuk diadakan diskusi pra-Kabinet, biasanya 45 minit sehingga 1 jam.

“Ini saya lunaskan sebanyak 157 kali. Alhamdulillah, segala pandangan dan nasihat PM saya terima.

“Saya terima dan sebaliknya juga teguran saya, PM akan maklum kepada Kabinet. Jadi, ia two way kerjasama. Saya melakukannya bersama empat PM.

“Pengalaman saya itu harus diteruskan oleh bakal Agong dan Agong akan datang kerana ia satu konvensyen yang baik antara ketua negara dengan ketua kerajaan.

“Ini supaya segala urusan tadbir urus negara boleh diselesaikan melalui musyawarah antara YDPA dengan PM.

“Saya tunjuk di sini buku yang digunakan untuk saya catatkan apa teguran saya, apa-apa pandangan PM, saya catat dari semasa ke semasa. Tujuh buku dah habis.

“Ini merupakan koleksi peribadi. Bila tua-tua esok, boleh discuss dengan anak-anak macam mana saya punya peranan sebagai Agong. Banyak juga ini,” titah baginda sambil menunjukkan buku berkenaan.

KEBIJAKSANAAN Al-Sultan Abdullah semasa menangani kemelut politik sewaktu pemerintahan baginda.

Baginda turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi ketua negara Malaysia pertama berangkat menghadiri ke Istiadat Pertabalan Raja United Kingdom (UK) di Westminster Abbey, pada 6 Mei tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah juga mempunyai hubungan baik dengan pemerintah antarabangsa dan banyak membantu Malaysia dalam mempertingkat perdagangan serta pelaburan.

Ditanya adakah baginda berpuas hati sepanjang lima tahun bergelar Yang di-Pertuan Agong? Baginda bertitah bahawa mesyuarat ketua negara seperti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) untuk diwakili oleh YDPA patut dipertimbangkan.

“Saya berkata begini kerana jika ia diwakili oleh Agong di peringkat antarabangsa, pemimpin itu lebih dihormati. Untuk perdebatan berkaitan perubahan alam, kemanusiaan, ini mungkin boleh diwakili oleh YDPA, tidak semestinya semua. Ini merupakan pandangan saya.

“Perkara berkaitan pentadbiran, kewangan dan keselamatan, ia diwakili oleh PM atau menteri,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah mengakhiri perbualan dengan harapan baginda agar bakal Agong dan Raja Permaisuri kelak lebih baik daripada baginda.

“Saya tidak akan menjadi Yang di-Pertuan Agong lagi bermula pada 31 Januari (esok), namun saya boleh jadi raja di hati semua rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Istana Negara. Maaf andai ada kekurangan serta berharap agar rakyat bermuhasabah dan beri segala kerjasama untuk memaju serta menyatukan semua kaum, di semua peringkat.

“Saya juga akan merindui semua di Istana Negara kerana merekalah kawan untuk lima tahun dan mereka juga keluarga untuk lima tahun,” titah baginda.

 

Menangis terkenang memori indah di Borneo

PROGRAM Kembara Kenali Borneo yang berlangsung pada 3 hingga 13 September tahun lalu merupakan satu fenomena.

Malah, sehingga ke hari ini, masih ramai rakyat jelata yang tidak jemu berkongsi momen indah sepanjang baginda serta keluarga menjelajah Sabah dan Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan bertemu media bertitah bahawa baginda sebenarnya sudah lama berhasrat untuk mengembara mengelilingi Borneo.

“Saya berbincang dengan Permaisuri dan menyatakan bahawa dalam siri lima tahun (bergelar Agong) saya mahu membuat kembara Sabah dan Sarawak kerana sebelum ini, saya hanya pergi ke Kota Kinabalu dan Kuching sahaja, tidak keluar dari situ.

“Saya terlintas mengapa tidak saya keluar dari Kota Kinabalu dan Kuching dan melihat keadaan di tempat-tempat lain pula. Saya mahu melihat orangnya, makanan di sana, melihat orang kampung, berjumpa dengan pelbagai kaum lain,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda dan keluarga sebenarnya mahu mengunjungi Borneo pada awal pemerintahan, namun disebabkan pandemik Covid-19 dan politik yang tidak stabil ketika itu, baginda tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

Baginda akui, pengalaman yang dilalui itu cukup manis dan akan menjadi kenangan sehingga ke akhir perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perjalanan pemanduan berkereta sejauh 2,154 kilometer (km), baginda dan Tunku Azizah melihat sambutan yang menyentuh hati apabila ada dalam kalangan penduduk kampung yang mahu memberikan air mineral, makanan dan rambutan. Malah, Al-Sultan Abdullah mengakui makan nasi bungkus yang diberikan orang ramai.

Tambah baginda, ada kalanya apabila tiada urusan pada sebelah malam, baginda akan teringat dan mengimbau kembali kenangan dan sambutan luar biasa yang diterima sepanjang program Kembara Kenali Borneo itu.

“Menangis juga, saya teringat sambutan yang diberikan amat luar jangkaan, saya cukup berterima kasih,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan keinginan untuk kembali semula ke Borneo satu hari nanti dan mengakui bahawa Sabah dan Sarawak sebagai dua negeri yang cukup cantik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI