PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai seorang isteri dan Permaisuri yang luar biasa.
Al-Sultan Abdullah mengakui bahawa Tunku Azizah banyak memberi semangat dan kekuatan, terutama pada awal Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 2019.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kasih dan penghargaan tinggi kepada Tunku Azizah kerana teguh berdiri disisinya mengharungi pelbagai kisah suka duka.
“Sudah tentu, bagi saya Azizah telah memainkan peranan luar biasa sebagai seorang Permaisuri dan isteri saya.
“Saya perlu bersetuju dengan anda bahawa Azizah banyak memberi semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Selain itu, sebagai ibu, sebagai isteri dan saya akui banyak sokongan, dukungan dan semangat yang diberi oleh Permaisuri terhadap saya. Alhamdulillah, saya bersyukur,”
Baginda bertitah demikian dalam wawancara hampir dua jam bersama beberapa editor dan wartawan kanan media utama sempena tamat tempoh pemerintahan di Istana Negara yang turut dihadiri, Tunku Azizah, baru-baru ini.
Bagi Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah merupakan sosok seorang ibu, isteri dan Permaisuri yang cukup sempurna, malah banyak menasihati Seri Paduka Baginda dalam pelbagai perkara.- KOSMO! ONLINE