JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dirundung malang apabila gagal menempah slot di pentas final dalam acara 60 meter (m) pada Kejohanan Jemputan Razorback di Fayetteville, Amerika Syarikat kelmarin.
Pada kejohanan olahraga dalam dewan itu, Azeem sekadar menamatkan aksi saringan di tempat kesembilan keseluruhan selepas melakukan catatan masa 6.70 saat (s), sekali gus meleburkan hasratnya melangkah ke final.
Meskipun tidak dapat beraksi di final, namun pemegang rekod 60m kebangsaan itu berjaya memperbaiki catatan 6.76s yang dilakukan pada Harvey Glance Tide versus Tigers Dual Meet di Alabama dua minggu lalu.
Jika dibandingkan pencapaian dilakukan Azeem dalam dua kejohanan dalam dewan itu, ia masih jauh dengan rekod kebangsaan 6.62s dicatatnya sewaktu Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Clemson, Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu.
Azeem, 20, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou tahun lalu percaya dia perlu bersabar dalam usahanya untuk terus memburu catatan masa terbaik.
“Belum lagi. Belum tiba lagi. Sabar,” kata atlet yang pernah mencipta sensasi apabila meleburkan rekod 100m kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan selepas melakukan catatan 10.09s dua tahun lalu.
Sementara itu, atlet kelahiran Perak berkenaan turut menggalas misi besar tahun ini apabila meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 100m dan dia masih berpeluang melakukannya sehingga Jun depan.
Sekiranya mahu layak secara merit, penuntut Universiti Auburn, Alabama itu perlu melakukan catatan masa 10.00s iaitu 0.09s lebih pantas berbanding rekod kebangsaan yang dipegangnya ketika ini.