fbpx

Lagu trending di YouTube, Naim Daniel tunai janji potong rambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naim Daniel.

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Naim Daniel menunaikan janji untuk memotong rambut selepas single baharunya, Purnama trending nombor satu dalam YouTube malam tadi.

Difahamkan, janji untuk menggunting rambutnya itu akan ditunaikan sekiranya lagu berkenaan menduduki tangga pertama dalam platform pencarian YouTube.

Dalam perkongsian tersebut, bekas pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 itu turut menitiskan air mata dengan pencapaian tersebut.

Aksinya menggunting rambut secara siaran langsung dikongsi dalam satu hantaran Instagram malam tadi.

“Walaupun sedang kuarantin, saya akan gunting juga malam ini. Janji harus ditepati.

“Saya akan ikut cakap ibu, hanya potong rambut sedikit sahaja. Helaian rambut yang telah digunting ini sebagai tanda Purnama sudah trending,” katanya sambil menunjuk helaian rambut yang diguntingnya.

Janji yang dibuat oleh Naim dalam Instagram miliknya dua hari lalu.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut menerima respons kurang baik daripada peminat yang beranggapan mereka ditipu Naim kerana penyanyi itu hanya menggunting rambutnya beberapa helai sahaja.

Rata-rata pengikut dan peminatnya meluahkan rasa tertipu untuk melihat gaya rambut Naim yang baharu.

“Aku kena scam rupanya dengan Naim,” tulis seorang pengikutnya.

“Kami ingatkan Naim potong rambut pendek sebab itu kami buat Purnama trending nombor satu. Lepas kuarantin harap gunting rambut,” luah seorang lagi peminat.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 23, kemudian menegaskan dia bukan seorang penipu.

“Saya bukan scammer. Saya sudah katakan saya akan potong rambut, bukannya botak,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI