PETALING JAYA – Kadar kesuburan rakyat Malaysia khususnya wanita dipercayai semakin rendah berikutan semakin ramai golongan muda menghidap penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi.
Seorang doktor perubatan, Dr. Irma Izzati Abdul Malek berkata, ketika ini, beliau mendapati semakin banyak kes berkaitan wanita sukar mendapatkan anak selain menerima lebih ramai pesakit kronik daripada golongan muda.
“Saya perasan kadar kesuburan rakyat ketika ini sangat rendah dan saya ada pesakit kencing manis dan obesiti berusia 20-an yang memerlukan insulin yang sangat tinggi.
“Ia suatu perkara yang membimbangkan kerana bukan seorang tetapi ramai. Ada yang baru berusia 30-an kena strok dan mempunyai darah tinggi,” katanya menerusi video TikTok, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr. Irma Izzati berkata, masyarakat juga semakin terikut dengan ‘content’ (kandungan) makanan di media sosial yang mempengaruhi mereka untuk makan secara berlebihan.
Katanya, pesakit beliau juga mengakui bahawa dia tidak dapat menahan nafsu apabila melihat video tular makanan itu.
“Jika kita tengok ‘content’ (kandungan) makanan sekarang terutama ‘dessert’ (manisan). Ada saya tengok kek tapak kuda orang makan berlumba-lumba ‘filling’ (isi) yang paling banyak. Lepas tu cara makan pun (sekali makan sahaja) ibarat nak tunjukkan kepuasan yang sangat tinggi.
“Orang dewasa yang sudah berusia mungkin dia dah sedar pasal kesihatan. Sekarang isunya, budak 3 hingga 10 tahun berat dah dekat 50 hingga 60 kilogram (kg),” jelasnya.
Justeru, kata Dr. Irma Izzati, dengan gaya hidup tidak sihat tanpa senaman menyebabkan peratusan untuk mendapatkan anak semakin berkurangan.
“Apabila berkahwin, dahulu kita kejar umur. Misalnya 30 tahun, 25 peratus untuk dapat anak, 35 tahun (15 peratus) dan 40 tahun ke atas (5 peratus).
“Tetapi sekarang dengan gaya hidup seperti ini, tak nak bersenam dan makan lagi sebanyak yang boleh, saya percaya peratusan itu lebih rendah,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Irma Izzati menasihati orang ramai agar mengubah gaya hidup dengan mengamalkan diet yang seimbang serta bersenam bagi mengelakkan masalah kesihatan.
“Kena usaha bersenam. Tiada yang mustahil jika nak berubah. Saya tak kisah pun nak ‘viral’ (tular) kedai tapi jangan terlalu ‘over’ (keterlaluan) sampai jadi ikutan dan boleh mudarat kesihatan orang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE