fbpx

5 laluan KL tutup sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Agong ke-17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

KUALA LUMPUR – Lima laluan utama di sekitar pusat bandar akan terlibat dengan penutupan sementara bagi Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17, di Istana Negara, Rabu ini.

Penutupan jalan tersebut adalah bersempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penutupan itu juga bagi memberi laluan kepada pergerakan Raja-Raja untuk hadir ke majlis tersebut.

Ujarnya, jalan yang ditutup adalah Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara serta Jalan Travers dan hanya dibuka semula secara berperingkat bermula 9.30 pagi.

“Selain daripada itu, beberapa laluan lain akan ditutup secara sementara melibatkan keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Agong ke-17 di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke Istana Negara.

“Laluan-laluan tersebut adalah Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Plus dan Jalan Sultan Abdul Halim,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Allaudeen, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalulintas.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengikuti arahan-arahan anggota Polis Trafik yang bertugas, di lokasi,” katanya.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada Selasa ini.

Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara mulai Rabu ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI